Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Jangan Takut, Najib Kan Tak Salah.. Kata Khairuddin Kepada Peguam Negara

Posted: 31 Jan 2016 08:30 AM PST


Tiada yang perlu ditakuti Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan memberikan kerjasama penuh kepada rakan sejawatnya dari Switzerland dalam siasatan dana 1MDB, kata bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Kata Khairuddin hal itu demikian kerana Mohamed Apandi sudah pun menyatakan Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan sebarang kesalahan dalam isu derma RM2.6 bilion erta wang syarikat SRC International bernilai RM42 juta yang dimasukkan ke akaun persendirian perdana menteri.

"Kalau Tan Sri Apandi dah kata Datuk Seri Najib tak bersalah, berilah kerjasama tanpa melindungi apa-apa fakta kepada Pejabat Peguam Negara di Switzerland," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Sebelum ini Peguam Negara Switzerland Michael Laubner menyatakan negara itu meminta kerjasama Malaysia dalam siasatan berhubung tuduhan rasuah membabitkan pegawai asing, salah laku di pejabat awam, pengubahan wang haram dan salah urus jenayah membabitkan 1MDB.

'Penyelewengan' yang disyaki itu dilaporkan bernilai kira-kira AS$4 bilion (RM16.6 bilion). Khairuddin dan peguamnya, Matthias Chang kini berdepan tuduhan cuba melakukan khianat terhadap ekonomi negara selepas beliau membuat aduan kepada beberapa pihak berkuasa asing mengenai 1MDB.

Khairuddin juga membuat aduan mengenai 1MDB di Zurich yang dipercayai mendorong pihak berkuasa Switzerland memulakan siasatan berkaitan.


Mukhriz Kata Sultan Kedah Murka Kepada Yang Memberontak Terhadapnya..

Posted: 31 Jan 2016 07:00 AM PST


Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua'adzam Shah dikhabarkan murka terhadap kumpulan yang cuba menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

Perkara itu dimaklumkan oleh Mukhriz dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai perkara itu, beliau menjelaskan keengganan EXCO UMNO Kedah menghadiri Mesyuarat EXCO menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan yang telah diatur oleh Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program dan aktiviti pembangunan untuk rakyat di Kedah.

Mukhriz menegaskan, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, beliau mendesak agar kesemua 14 Ketua UMNO Bahagian yang terlibat secara langsung dalam sidang media pada 20 Januari lepas dan enam orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang tidak hadir Mesyuarat EXCO pada 27 Januari lalu segera memohon maaf secara rasmi kepada Sultan Kedah dan Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

"Saya telah menerima khabar sesunguhnya Duli Tuanku Sultan dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut.

"Yang lebih dikesali apabila tindakan itu disertai beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang sudah berikrar taat setia kepada Raja Pemerintahan ketika mengangkat sumpah jawatan masing-masing.

"Turut mendukacitakan, rentetan dari sidang media itu, enam daripada sembilan EXCO Kedah tidak menghadiri Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah pada 27 Januari lalu. Ini jelas sekali menyalahi peraturan pelantikan mereka sebagai penjawat awam dan ingkar dengan sumpah jawatan yang diangkat di hadapan Raja Pemerintah, seperti yang termaktub di dalam undang-undang Tubuh Kerajaan negeri Kedah," kata Mukhriz dalam kenyataan itu.

Tambahnya, tindakan 12 Ketua Bahagian dan dua Timbalan Ketua Bahagian mengheret ketua-ketua sayap dan pemimpin muda dalam UMNO mengadakan sidang media di Alor Setar pada 20 Januari lalu juga disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

"Malah sebilangan yang hadir pada sidang media itu telah maklum kepada saya bahawa mereka tidak mengetahui terlebih dahulu tujuan dan intipati kenyataan yang yang akan dibuat.

"Saya percaya desakan mereka tidak mewakili suara majoriti ahli UMNO dan yang lebih penting lagi, kehendak rakyat Negeri Kedah," katanya lagi.

Sehubungan itu, Mukhriz meminta setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Raja Pemerintah dan rakyat sehingga kemelut ini selesai ~ Free Malaysia Today


Zahid Kecewa Peguam Negara Switzerland Keluar Kenyataan Menerusi Media

Posted: 31 Jan 2016 05:23 AM PST


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Peguam Negara Switzerland Michael Lauber yang membuat kenyataan menerusi media mengenai hasrat pihaknya mendapatkan butiran lanjut berhubung siasatan terhadap dakwaan kecurian AS$4 bilion daripada syarikat milik kerajaan Malaysia

Timbalan perdana menteri itu berkata, hasrat sedemikian sebaiknya disampaikan menerusi komunikasi di antara kerajaan dan kerajaan.

"Saya harap maklumat sedemikian mesti disalurkan melalui saluran rasmi kerajaan kerana ia adalah berdasarkan "G2G" (kerajaan kepada kerajaan).

"Dengan membuat kenyataan terbuka begitu, pada hemat saya, ia tidak baik, kerana ia bukan sahaja akan menyebabkan kerenggangan hubungan antara 2 negara tetapi juga menyebabkan berat sebelah dalam laporan media," kata Zahid.

Beliau berkata demikian kepada wartawan sewaktu ditemui selepas menutup pameran Malaysian Inbound Tourism Association Fair di Kuala Lumpur, petang ini.

Pendakwa raya Switzerland dalam 1 kenyataan media semalam berkata, akan meminta bantuan pihak berkuasa Malaysia berhubung siasatan kecurian besar-besaran daripada sebuah firma milik kerajaan yang ketika ini berdepan skandal rasuah.

Penyiasat Switzerland mempercayai kira-kira AS$4 bilion (RM16.8 bilion) dicuri daripada syarikat milik kerajaan Malaysia, dana yang diperuntukkan untuk tujuan ekonomi dan projek pembangunan di negara ini.

Sebahagian wang tunai dipindahkan ke dalam akaun berpangkalan di Switzerland milik seorang pegawai dari Malaysia dan juga bekas pegawai daripada Emiriyah Arab Bersatu, kata peguam negara Switzerland.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, Putrajaya akan menghantar Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bertemu Lauber bagi mendapatkan butiran lanjut berkenaan permintaan mereka.

"Kita akan menyerahkan tugas mendapatkan butiran yang dinyatakan itu melalui peguam negara kita untuk bertemu peguam negara Switzerland," katanya.

Susulan kenyataan pejabat peguam negara Switzerland itu, Apandi berkata semalam, pihak berkuasa Malaysia termasuk Jabatan Peguam Negara komited bekerjasama dengan semua entiti penguatkuasaan undang-undang luar negara berkaitan, menerusi konvensyen dan perjanjian antarabangsa yang sah, berhubung siasatan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, pejabatnya akan mengambil segala langkah perlu membuat susulan dan bekerjasama dengan rakan sejawatannya di negara berkenaan.

Sementara itu, 1MDB dalam satu kenyataan semalam berkata, syarikat itu tidak dihubungi mana-mana pihak berkuasa undang-undang dari luar negara mengenai sebarang perkara yang mempunyai kaitan dengannya ~ The Malaysian Insider


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...