Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Gara-gara Terima 'Datuk' Tak Laku, Rani Kulup Diangkut Ke Balai..

Posted: 05 Jan 2016 04:30 AM PST


Abdul Rani Kulup Abdullah hari ini 'diangkut' pihak berkuasa bagi memberi keterangan berhubung anugerah 'Datuk Paduka Mahkota Melaka' yang diterimanya, baru-baru ini.

Abdul Rani atau lebih gemar membahasakan dirinya sebagai 'ayah' pada mulanya mahu memberi keterangan di sebuah restoran mamak, bagaimanapun dibawa ke Balai Polis Gombak.

Sebelum ini Rani yang terkenal dengan julukan 'Raja Repot' menerima 'anugerah' daripada Raja Noor Jan Shah Tuah yang mengakui dirinya Sultan Melaka.

Bagaimanapun, majlis penganugerahan pingat itu tidak diiktiraf dan Noor Jan kini disiasat di bawah Akta Hasutan.

Beliau kelihatan tenang ketika memasuki balai polis tersebut bagi memberi keterangan dan membantu siasatan di bawah Akta Hasutan 1948.

"Lima tahun saya berkecimpung dalam report polis hingga saya gelar king of report. (Tapi) Raja Report Malaysia kena angkut hari ini dan ini sungguh haram jad**.

"Memang orang kata Raja Report akan kena, jadi inilah, dah kena dah. Tapi kena ayah pun kena bersebab, atas fakta kes yang sangat berbelit-belit," katanya kepada pemberita di luar Balai Polis Gombak.

Abdul Rani yang memberikan keterangan selama lebih tiga jam turut mengakui gelaran 'Datuk' yang diterimanya tidak sah kerana Kesultanan Melayu Melaka telah lama berakhir.

"Saya nak bagitahu, benda (gelaran) ini tidak diiktiraf yang mana institusi Kesultanan Melaka sudah berakhir.

"Ini wujud pula sultan Noor Jan, mengikut fakta dia sendiri," katanya yang tidak lekang dengan cermin mata hitam.

Isu Noor Jan kembali hangat apabila majlis penganugerahan itu melibatkan beberapa individu yang kerap mendapat perhatian dan menjadi viral di media sosial termasuk Abdul Rani.

Noor Jan pernah ditahan polis bagi membantu siasatan bawah akta sama, selepas mengadakan majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf lapor Malaysiakini



Konsep Patuh Syariah Hanya Mahu Untung Guna Islam‎, Kata Dr Mahathir

Posted: 04 Jan 2016 11:28 PM PST


Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa konsep patuh syariah yang diperkenalkan Rayani Air hanyalah untuk mendapatkan keuntungan dengan menggunakan agama Islam, lapor Free Malaysia Today.

Bekas perdana menteri itu berkata, syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) tidak perlu mengikut jejak langkah penerbangan itu yang memperkenalkan konsep tersebut.

"Kita dapati pemiliknya bukan orang Islam.

"Jadi orang bukan Islam yang patuh pada ajaran agama Islam ada juga. Dia dapat keuntungan daripada agama Islam. Sekarang ini, macam-macam benda orang cari keuntungan daripada apa yang ditafsir sebagai kehendak Islam.

"Tidak payah (ambil tindakan yang sama seperti Rayani Air). Saya tengok, syarikat Arab Saudi pun tidak ada konsep patuh syariah. Kenapa kita hendak tunjuk kita ini lebih Islam daripada orang lain," katanya dalam wawancara eksklusif bersama portal itu.

Dr Mahathir turut membidas dakwaan mengkritik MAB masih menghidangkan arak kepada penumpang syarikat penerbangan berkenaan.

"Tidak ada. Tidak hidang alkohol lagi. MAS lama sudah berhenti. Benda itu sebenarnya tidak patut timbul. Negara Islam dan penduduknya 100% Islam juga tidak suruh buat macam itu (hentikan menghidangkan alkohol sewaktu penerbangan).

"Kita hendak tunjuk kita ini lebih Islam dari mereka. Orang yang tidak pakai tudung pun Islam juga. Orang yang buat dosa juga Islam. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya kata orang itu tidak Islam. 

"Adakah melayan penumpang dengan tudung menunjukkan kita lebih Islam?" soalnya.

Rayani Air bulan lalu memperkenalkan imejnya sebagai syarikat penerbangan patuh syariah yang mewajibkan anak kapal kabinnya memakai tudung bagi yang beragama Islam.

Syarikat itu juga menyediakan makan minum daripada sumber halal, melarang minuman keras dan mengamalkan bacaan doa sebelum memulakan penerbangan.

Rayani Air mempunyai 355 kakitangan, 8 juruterbang dan 50 petugas anak kapal kabin.

Nama Rayani Air merupakan hasil gabungan nama pemilik syarikat penerbangan itu iaitu Ravi Alegandrran dan isterinya Karthiyani Govindan.



Beza RM2 Bilion, DAP Gesa 1MDB Dedah Perjanjian

Posted: 04 Jan 2016 07:37 PM PST


1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu mendedahkan perjanjian jual beli di antara pelabur negara itu dan usahasama China-Malaysia untuk kepentingan 60% di Bandar Malaysia, kata DAP, selepas usahasama itu semalam mendedahkan ia membayar kurang RM2.13 bilion daripada harga yang didakwa penjual kepada 1MDB.

Dalam makluman kepada Bursa Saham Hong Kong, China Railway Group Limited berkata, usahasamanya dengan Iskandar Waterfront Holdings Berhad (IWH) mempunyai saham bernilai RM5.28 bilion.

Tetapi 1MDB mengumumkan pada 31 Disember, tawaran itu berharga RM7.41 bilion dan usahasama itu membayar 10% wang pendahuluan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua mempersoalkan sekiranya 1MDB membuat "kesilapan budak sekolah" dalam mengira harga transaksi sebenar.

Beliau juga bertanya jika harga itu dinaikkan bagi memberi gambaran baik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Mungkin 1MDB tidak menjangka China Railway akan membuat pengumuman di Hong Kong Exchange, atau ada pihak yang benar-benar akan membaca pengumuman itu.

"Bagaimanapun, kita tahu, berdasarkan sejarah, penyata 1MDB mesti sentiasa diteliti dengan penuh keraguan kerana ia sering tidak mencerminkan kebenaran yang sepenuhnya.

"Kenyataan mereka sering dibuat supaya sesuai dengan apa yang mereka mahu anda tahu atau fikir, bukan untuk memberikan anda pemahaman sebenar tentang keadaan itu," Pua berkata dalam satu kenyataan.

Oleh itu, beliau berkata, 1MDB perlu mendedahkan kepada umum perjanjian jual beli yang ditandatangani antara syarikat itu bagi memastikan tidak ada kesamaran mengenai perjanjian itu dan ia difahami dengan jelas kedua belah pihak.

Dengan itu, katanya, tidak ada pihak boleh menuduh 1MDB bertindak selektif dalam mendedahkan maklumat kepada orang ramai.

"Rakyat Malaysia juga tidak akan bimbang jika terdapat syarat penting dan substantif dalam perjanjian itu yang mungkin boleh menjejaskan kepentingan 1MDB dan pembayar cukai Malaysia," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Pada 31 Disember lalu, 1MDB berkata penjualan kepentingannya dalam Bandar Malaysia adalah sebahagian daripada rancangannya mengurangkan hutang yang sejumlah RM45 bilion.

Pegangan itu dibeli sebuah konsortium yang terdiri daripada IWH dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC), anak syarikat China Railway Group di Malaysia.

Konsortium IWH-CREC Sdn Bhd ialah usaha sama 60:40 antara IWH dan CREC. Konsortium yang memenangi bidaan itu, bersama pemegang saham sedia ada, akan meneruskan baki komitmen di Bandar Malaysia, termasuk penempatan semula Pengkalan Udara Kuala Lumpur, projek yang menelan belanja RM2.7 bilion pada keseluruhannya lapor The Malaysian Insider



-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...