Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Kepada Siapa Bekas Timbalan Pengarah SB Tujukan "Mengaku Sajalah Dan Bertaubat" Ni?

Posted: 01 Feb 2016 08:30 AM PST


Pemindahannya secara tiba-tiba ke Jabatan Perdana Menteri tahun lalu tidak mengentarkan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia Datuk Abdul Hamid Bador.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Hamid berkata tindakannya tidak menyalahi mana-mana undang-undang negara dan reda jika diheret ke penjara sekiranya ketua polis negara mendapat arahan dari 'langit Putrajaya' untuk berbuat demikian.

"Jika IGP mendapat arahan dari langit Putrajaya untuk menangkap saya maka saya reda.

"Hati ini semakin reda apabila mengenangkan Hari Polis 25 Mac depan semakin hampir. Masih kuat lagi semangat di dalam hati ini untuk menyanyikan lagu Polis Sedia Berkhidmat. Sewaktu dalam lokap nanti saya akan kumandangkan lagu keramat ini.

"Semua manusia mempunyai harga untuk dibeli dan dikompromi. Begitulah kata orang tua-tua dulu. Harga bagi diri saya ialah.... mengaku sajalah dan bertaubat," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan siapa yang dirujuk itu ataupun kesalahan apa perlu individu berkenaan bertaubat.

Walaupun bersedia ke penjara, Hamid berkata beliau yakin beliau tidak melanggar mana-mana undang-undang dan telah menjalankan kewajipannya sebagai seorang pegawai polis dengan sebaik-baiknya bagi memenuhi kehendak Akta Polis.

"Peranan dan fungsi utama saya adalah untuk mengesan dan mencegah jenayah. "Undang-undang itu sendiri mengatakan bahawa seseorang itu tidak boleh menyembunyikan sebarang maklumat mengenai perlakuan jenayah," katanya.

Hamid tahun lalu secara tiba-tiba dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri selang beberapa hari berita bahawa perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara ditamatkan.

Beliau sebelum ini mendakwa terdapat usaha untuk menyembunyikan saksi dalam siasatan terhadap Najib lapor Malaysiakini


Akhirnya Singapura Menjawab Persoalan Mahathir Mengenai Akaun Berkaitan 1MDB..

Posted: 01 Feb 2016 06:13 AM PST


Terjawab juga akhirnya apa yang Tun Mahathir persoalkan mengenai dua akaun 1MDB yang dibekukan oleh Pihak Berkuasa Singapura atas dakwaan salah urus kewangan dan rasuah di negara itu..

Soalan Tun itu dibangkitkan bila beliau mempersoalkan penjelasan peguam negara bahawa Datuk Seri Najib Razak memulangkan kembali sebahagian besar wang sumbangan diterimanya kepada kerabat diraja Saudi. 

"Bagaimana dan bila ia dibuat? Kita diberitahu bahawa bakinya dibekukan oleh Singapura.

"Boleh Singapura jelaskan berkaitan unfreezing dan penghantaran balik kepada Saudi?" soalnya dalam tulisan di blognya minggu lalu.

Tun juga membangkitkan persoalan sama ada Singapura yang merupakan sebuah pusat kewangan akan begitu mudah tertipu.

Singapura tak tertipu rupanya dan akaun masih lagi dibekukan..

Baca ni..

Singapura berkata hari ini bahawa ia telah menyita sejumlah besar akaun bank yang berkaitan dengan kemungkinan kesalahan pengubahan wang haram berhubung siasatan terhadap salah urus kewangan yang didakwa dilakukan oleh firma pelaburan negara, 1MDB.

Dalam satu kenyataan, Singapura berkata Pihak Berkuasa Kewangan Singapura dan Jabatan Hal Ehwal Komersial, polis republik itu sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa di Malaysia, Switzerland dan Amerika Syarikat berhubung siasatan 1MDB.

"Sehubungan dengan siasatan ini, kita sudah berusaha dan akan terus mendapatkan maklumat daripada beberapa institusi kewangan, sedang mewawancara pelbagai individu, dan merampas sejumlah besar akaun bank," kata kedua-dua agensi itu dalam kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu dibuat selepas ketua pendakwa raya Switzerland pada minggu lalu berkata, siasatan jenayah ke atas 1MDB mendedahkan bahawa kira-kira AS$4 bilion (RM16.6 bilion) didapati telah disalahgunakan.

1MDB, yang lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, telah disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia berikutan tuduhan salah urus kewangan dan rasuah. 1MDB menafikan dakwaan itu.

Minggu lalu, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan jenayah atau rasuah dan mengarahkan siasatan ke atasnya ditutup.

Najib terpalit dengan kes itu apabila didedahkan bahawa dana AS681 juta didapati berada dalam akaun bank peribadinya. Beliau bagaimanapun menafikan sebarang salah laku lapor Malaysiakini

Akaun dibekukan tapi duit boleh dikembalikan?.. duit apa yang dikembalikan tu agaknya?..


Mukhriz Masih Kekal Sebagai MB Kedah Lagi..

Posted: 01 Feb 2016 03:28 AM PST


Semua 20 ADUN BN tidak mahu mengulas hasil perjumpaan bersama mereka dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar sejak jam 2.30 petang tadi.

Lebih 50 pengamal media yang menunggu di pintu masuk utama cuba untuk meminta wakil rakyat mengulas apabila mereka meninggalkan bangunan itu pada kira-kira 5.30 petang tetapi tiada seorang pun yang mahu mengulas.

ADUN Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanapiah sekadar berkata "tiada keputusan lagi", sebelum meninggalkan bangunan itu.

ADUN Guar Chempedak Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang dispekulasi antara yang bakal menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon menteri besar juga enggan mengulas. 

Mukhriz meninggalkan bangunan Wisma Darul Aman pada jam 5.30 petang selepas berjumpa dengan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, tanpa bercakap kepada wartawan.

Krisis politik tercetus berikutan wakil rakyat dan pimpinan kanan Umno negeri, yang diketuai Bashah yang juga adalah timbalan pengerusi perhubungan Kedah menyuarakan secara terbuka mengenai hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Mukhriz.

Dilaporkan seramai 19 daripada 21 ADUN BN, iaitu 17 daripada Umno dan dua dari MCA, menandatangani surat akuan menyatakan hilang kepercayaan mereka terhadap Mukhriz.

Hanya ADUN Jitra Datuk Aminuddin Omar yang dikatakan tidak berbuat demikian.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghadap Tunku Sallehuddin, yang juga Tunku Temenggong Kedah, di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara bagi membincangkan pertukaran menteri besar.

Turut hadir pada pertemuan hampir sejam itu ialah Tunku Abdul Hamid yang juga Tunku Laksamana Kedah dan Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Tunku Panglima Besar Kedah.

Najib pada sidang media pada hari sama selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dilaporkan berkata beliau telah menyembah maklum beberapa cadangan kepada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah berhubung kemelut berkenaan lapor Malaysiakini


19 ADUN Kedah KEKAL hilang kepercayaan kepada Mukhriz

Posted: 01 Feb 2016 12:05 AM PST


Pendirian hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir tetap kekal dan akan dimaklumkan kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah jika ia ditanya pada pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) petang ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pada pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, seramai 19 ADUN menyatakan pendirian sama hilang kepercayaan kepada Mukhriz.

"Jika di soal (Jemaah Pemangku) pendirian kami kekal dan akan dinyatakan nanti..... pendirian ini juga dinyatakan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) semalam.

"Bagaimanapun, saya sendiri tidak tahu inti pati pertemuan petang ini namun akan hadir seperti diarahkan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Isnin.

Menurutnya, pihaknya akan menerima apa saja keputusan yang mungkin akan dibuat selepas pertemuan itu.

Difahamkan, Mukhriz sudah dipanggil menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah pagi tadi dipercayai ada kaitan dengan isu pertukaran Menteri Besar lapor AgendaDaily


Pejabat AG Switzerland Tak Mahu Terseret Dengan 'Politik' Zahid

Posted: 31 Jan 2016 10:00 PM PST


Pejabat Peguam Negara Switzerland "puas hati" bahawa Peguam Negara Malaysia akan membantu Switzerland dalam penyiasatannya terhadap firma milik kerajaan 1MDB.

Ini dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya, dengan menyatakan bahawa ia sedang menyiasat dakwaan penyelewengan AS$4 bilion dana yang didakwa melibatkan syarikat milik kerajaan Malaysia dan 1MDB.

"Pejabat Peguam Negara Switzerland mengambil perhatian dengan berpuas hati dengan reaksi rakan sejawatannya dari Malaysia dan komitmennya untuk menyokong sepenuhnya permintaan Switzerland bagi bantuan bersama," katanya dalam emel kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, pejabat itu enggan mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilapor menyatakan rasa kurang senang terhadap pihak berkuasa Switzerland yang membuat kenyataan terbuka berhubung kerjasama dalam siasatan mengenai 1MDB.

Zahid dilaporkan berkata permohonan rasmi mengenai perkara itu sewajarnya dilakukan melalui saluran rasmi.

"Pejabat Peguam Negara Switzerland telah mengambil maklum mengenai kenyataan terkini yang dilaporkan oleh pelbagai media.

"Sebagai sebuah badan penguatkuasaan undang-undang dan pihak berkuasa kehakiman, Pejabat Peguam Negara Switzerland tidak mengulas kenyataan politik.


Najib Mahu ADUN Kedah Terima MB Baharu Diumum Hari Ini?

Posted: 31 Jan 2016 07:05 PM PST


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah ditemuinya semalam menerima menteri besar baharu yang bakal diumumkan hari ini bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dedah sumber dalaman Umno Kedah.

Beliau bagaimanapun, menurut sumber itu, tidak mengumumkan nama bakal menteri besar baharu itu tetapi berharap semua Adun yang hadir menerima keputusan yang akan dibuat hari ini.

"Najib memanggil semua Adun bagi mengumumkan sudah pun mendapat perkenan Istana.

"Surat perkenan daripada Sultan Kedah sudah diterima dan Najib juga sudah memaklumkan kepada Jemaah (Diraja) mengenai nama pengganti Mukhriz," kata sumber tersebut.

Najib semalam sekali lagi mengadakan pertemuan dengan 20 Adun Kedah di kediamannya Jalan Duta, Kuala Lumpur, bagi memaklumkan yang beliau sudah mendapat perkenan Sultan dan Jemaah Diraja Kedah untuk menggantikan Mukhriz.

Susulan sidang media yang diadakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah di Alor Star pada 20 Januari lalu, Najib pertama kali bertemu ketua Umno bahagian, wakil rakyat serta exco Kedah di di Kuala Lumpur dua hari selepasnya.

Bashah pada sidang itu mengetuai sekumpulan 14 ketua bahagian Umno menyatakan tidak lagi menyokong Mukhriz dan menggesa Najib campur tangan bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

Sebelum ini, spekulasi mengatakan terdapat 3 nama diserahkan untuk pertimbangan pihak Istana tetapi perkara itu tidak didedahkan Najib sendiri.

Media juga membuat laporan berbeza-beza apabila ada yang mengatakan Bashah bakal dilantik menteri besar baharu menggantikan anak bekas perdana menteri paling lama berkhidmat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengenai pertemuan dengan semua Adun Barisan Nasional Kedah dan Jemaah Diraja di Wisma Darul Aman, Alor Star yaang dijadualkan hari ini, sumber memberitahu ia sekadar formaliti sebelum penukaran menteri besar.

"Pertemuan esok (Isnin) dengan semua Adun sekadar formaliti. Keputusan dan perkenan sudah diterima untuk menukar menteri besar," katanya.

Pertemuan semalam berlangsung selama sejam, dihadiri semua Adun kecuali Mukhriz dan pengikut setianya, Datuk Aminuddin Omar yang juga Adun Jitra.

"Pertemuan berjalan dengan baik dan semua Adun menerima keputusan Najib menggantikan Mukhriz," kata sumber itu.

Majlis angkat sumpah dipercayai akan diadakan sebelum mesyuarat mingguan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) pada Rabu ini.

"Jika majlis angkat sumpah diadakan selepas Rabu, ia mungkin menambah lagi kekecohan dalam pentadbiran kerajaan negeri," sumber itu menjelaskan.

Dalam pertemuan semalam juga, sumber memberitahu, keputusan dicapai supaya 8 exco mengekalkan portfolio masing-masing sementara Aminuddin bakal digugurkan sebagai Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan.

"Salah satu syarat menukar menteri besar adalah exco sedia ada mengekalkan portfolio masing-masing.

"Hanya Aminuddin digugurkan dan nama penggantinya akan diumumkan menteri besar baharu nanti," katanya.

Hari ini, semua Adun akan menghadap 3 ahli Jemaah Diraja, yang terdiri daripada Pengerusinya Tunku Temenggong Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Laksamana Datuk Seri Diraja Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Puteri Sulung Sultan Kedah Tengku Panglima Besar Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Kemelut politik Kedah sudah berlarutan hampir 2 minggu selepas sidang media diadakan Bashah itu.

Bagaimanapun, tanda tanya mengenai pengganti Mukhriz masih menjadi misteri apabila Najib tidak mengumumkan nama baharu menteri besar walaupun sudah menghadap Sultan Kedah yang juga Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah pada Rabu lalu, dipercayai bagi membincangkan calonnya lapor The Malaysian Insider


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...