Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Jangan Cakap Kosong!! Suruh Najib Saman WSJ, Kata Khairuddin Kepada Salleh Keruak

Posted: 19 Feb 2016 06:44 AM PST


Cukuplah 'bercakap kosong' dan nasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar menyaman sahaja Wall Street Journal (WSJ), pesan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan itu berkata menasihati Najib adalah jauh lebih baik berbanding mengulas liputan WSJ tanpa sebarang tindakan susulan.

"Berita itu sudah tersebar ke seluruh dunia dan amat memalukan Najib dan negara kita. Jadi tunggu apa lagi?" soalnya dalam satu kenyataan, merujuk kenyataan Najib sebelum ini yang mengancam untuk menyaman akhbar itu atas siri laporannya berkaitan 1MDB.

Khairuddin berkata demikian mengulas kenyataan Salleh yang berkata WSJ memiliki agenda tertentu dalam liputannya keatas pentadbiran negara.

"Saya selaku rakyat Malaysia kecewa juga dengan pelbagai tuduhan yang dibuat WSJ ke atas Perdana Menteri, tetapi pada masa sama saya turut tertanya-tanya kenapa Najib masih tidak mahu saman akhbar itu?"

Justeru, Khairuddin menyarankan dua perkara kepada Salleh; "Pertama, saya memohon agar Salleh mendesak Najib untuk mengambil tindakan saman malu secara segera ke atas WSJ demi menyelamatkan maruah Perdana Menteri dan negara Malaysia.

"Jika tidak mampu berbuat demikian, lebih baik dia duduk diam sahaja dan jangan campur urusan tersebut. Tolong jangan cakap kosong," katanya lagi ~ FMT


Zahid Hamidi Tangguh Pengambilan Pekerja Asing Serta-merta..

Posted: 19 Feb 2016 12:00 AM PST


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penangguhan pengambilan semua pekerja asing dari negara sumber berkuat kuasa serta merta.

Katanya, penangguhan itu turut melibatkan pengambilan pekerja dari Bangladesh.

"Hari ini, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan telah mengambil keputusan untuk melakukan penanggguhan pengambilan semua pekerja asing dari semua negara sumber termasuk Bangladesh," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan majlis mesra Timbalan Perdana Menteri bersama anggota tentera di Kem Muara Tuang, di sini, hari ini.

Tambahnya, penangguhan ini akan berjalan sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar tengaga kerja asing sebagaimana yang diperlukan industri.

Ia juga bagi membolehkan kerajaan mengkaji pelbagai perkara terutama melibatkan pembayaran levi dua tahap.

"Penangguhan ini dibuat bagi pihak membolehkan kerajaan meneliti semula keputusan terhadap pembayaran levi dua tahap atau two tear levi program.

"Selain itu, ia bagi membolehkan tumpuan kepada program pengajian semula serta melakukan penguatkuasaan untuk menentukan tidak ada pekerja-pekerja asing yang baharu dibawa ke Malaysia dan mana-mana pekerja yang tidak ada dokumen atau melebihi tempoh tinggal di Malaysia, mereka akan ditangkap,ditahan dan dihantar pulang ke negara asal mereka," jelasnya.

Ahmad Zahid berkata, majikan juga disaran agar lebih mengutamakan pekerja tempatan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam syarikat mereka.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga menyeru golongan belia supaya mengisi kekosongan pelbagai kekosongan kerja sedia ada.

Menurutnya, belia perlu menyahut seruan kerajaan untuk mengambil-alih tempat semua pekerja asing dan menjadi tenaga kerja utama di negara ini untuk pembangunan ekonomi negara lapor AstroAwani


Ganja Hilangkan Tekanan?.. Jangan Berangan Jadi Robin Hood - Nooh Gadut

Posted: 18 Feb 2016 10:00 PM PST


Penggunaan ganja sebagai penyelesai masalah tekanan kos sara hidup dilihat jalan singkat semata-mata untuk memenuhi matlamat yang menghalalkan cara.

Pengerusi Majlis Agama Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadut berkata, paling penting rakyat perlu sentiasa berkiblatkan Al-Quran dan Al-Sunnah jika mencari ketenangan selepas dibelenggu masalah tekanan hidup.

"Kita perlu balik kepada ajaran agama. Kita bukan di negara Eropah atau berfikiran liberal. Bukan kita tidak ada jalan lain lagi.

"Ganja bukan penawar kepada masalah tekanan akibat kos sara hidup. Saya akui ia ubat yang boleh digunakan pakar untuk mengubati penyakit. Jangan jadikan alasan menggunakan ganja itu untuk menghalalkan cara.

"Dalam Islam sendiri sudah ada banyak cara, bukan gunakan ganja untuk hilangkan stress. Konsepnya seperti pergi mencuri duit untuk buat masjid atau merompak seperti 'Robin Hood' untuk bantu orang lain. Ini salah," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Nooh mengulas kenyataan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail yang mahu kerajaan mempertimbangkan kebenaran untuk rakyat menggunakan ganja sekali gus meminda sebarang larangan undang-undang melibatkannya atau marijuana yang pernah dibuat sebelum ini.

Katanya, ganja jelas tidak menjadikan individu itu agresif atau hilang pertimbangan seperti yang berlaku kepada mereka yang mengambil alkohol berlebihan.

Dalam pada itu tegas Nooh yang juga bekas Mufti Johor, rakyat perlu melihat kepada diri sendiri untuk mengenal pasti punca tekanan yang dihadapi.

"Seperti di negara kita, banyak peluang yang ada namun tidak diambil kesempatan oleh rakyat sendiri. Sebaliknya ia menjadi lubuk kekayaan yang dilihat oleh pekerja luar.

"Pada saat hasil negara kita dituai pekerja asing, apakah kita mahu melihat rakyat sendiri hanya menghisap ganja semata-mata kononnya mengalami tekanan kos sara hidup?" jelasnya.

Tambahnya, sikap rakyat yang selama ini terlalu selesa menjadikan mereka selalu menyalahkan takdir dan sehingga terfikir untuk mengambil jalan singkat dengan menghisap ganja jika mengalami tekanan.

"Fikirkan kesan sampingan penggunaan ganja. Setiapa ubat ini ada kesannya tersendiri. Seharusnya dia menjaga agama, jaga diri dan bukan merosakkan keturunan seterusnya," katanya.

Pada tahun lepas, Nooh memberitahu, perbuatan menangkap gambar sendiri dengan menggunakan telefon pintar atau 'selfie' selepas menunaikan solat atau 'tarawih' di masjid dan menyiarkannya di media sosial dengan niat riak dan mahu menunjuk-nunjuk disifatkan boleh menghapuskan pahala ibadah.

Tegasnya, penerangan itu sudah jelas di dalam doa iftitah yang dibaca setiap kali solat dan menyebut fokus ibadah adalah keutamaan dalam keikhlasan seseorang individu lapor Astro Awani


Derma RM2.6 Bilion Najib Bukan Dari Saudi, Kata Pengarang WSJ

Posted: 18 Feb 2016 06:28 PM PST


Kredibiliti Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kini dikompromi apabila The Wall Street Journal (WSJ) menyangkal kenyataan Datuk Seri Najib Razak bebas daripada sebarang salah laku dalam penemuan derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Pengarang kewangan WSJ Ken Brown dalam wawancara bersama ABC News Australia berkata, wang itu bukan daripada keluarga Diraja Arab Saudi sebaliknya datang daripada pelbagai syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Laporan kami selama berbulan-bulan menunjukkan wang itu bukan dari Arab Saudi tetapi dari syarikat dan akaun bank yang mempunyai hubungan dengan 1MDB.

"Dan seperti anda sedia maklum, laporan kami belum pernah dipertikaikan lagi dan kami ada banyak bukti sokongan," katanya dalam wawancara pada 12 Februari lalu.

WSJ adalah penerbitan yang pertama sekali menyiarkan berita tentang kehadiran wang tersebut dalam akaun Najib.

Najib pada mulanya mengarahkan peguamnya menghantar surat tuntutan kepada WSJ namun surat tersebut akhirnya dihantar sebagai surat mengesahkan laporan berkenaan semata-mata.

Sehingga kini, pemimpin tertinggi negara itu belum mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap WSJ.

Kini beberapa pihak berkuasa luar negara sedang menyiasat urus niaga 1MDB walaupun Najib belum dinamakan lagi dalam mana-mana siasatan.

Brown turut mengulas cadangan Apandi untuk mengetatkan hukuman terhadap mereka yang membocorkan maklumat kerajaan.

"Ia tak mengejutkan selepas usaha kerajaan mendakwa wang itu datang dari Arab Saudi.

"Realitinya, tiada sesiapa pun percaya dan mereka dibidas kerana perkara itu. Sekarang ini, mereka kata semua orang tidak lagi boleh membincangkannya," katanya.

Brown turut membayangkan lebih banyak maklumat akan diketahui umum apabila pihak berkuasa luar negara melanjutkan siasatan mereka.

"Aksi sebenar akan berlangsung dalam beberapa bulan akan datang menerusi siasatan luar negara dan jika mereka menemui perkara serius, ia amat sukar buat kerajaan Malaysia untuk tidak mengendahkannya," katanya lapor The Malaysian Insider


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...