Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Bila Ali Rustam Terlajak BODEK..

Posted: 02 Feb 2016 08:29 AM PST


Faham-fahamlah kan.. jawatan yang dipegangnya itupun satu jawatan lantikan.. jadi kalau langsung tak bersuara membela 'tangan yang menyuapnya makan'.. nanti susah pulak..

Beliau dilaporkan mahu tindakan disiplin diambil ke atas mana-mana pegawai SPRM yang kononnya dilihat cuba menjatuhkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebab baginya Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin didakwa mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat... ada ke yang keliru?

Oleh itu dipercayai kerana mahu menunjukkan kesetiaannya kepada Najib, berkatalah beliau..

"SPRM perlu mengambil tindakan segera ke atas pegawainya yang dilihat cuba menjatuhkan imej perdana menteri terutama ke atas Bahri bagi mencerminkan keseriusan agensi itu dalam menangani isu permasalahan disiplin.

"Bagi saya, mereka yang terbabit dengan isu ini tidak diberi kebenaran untuk mengeluarkan kenyataan dan dilihat masih mempertikaikan kenyataan Peguam Negara (Tan Sri Mohamed Apandi Ali) dan SPRM yang mengesahkan kes derma 2.6 bilion berkaitan perdana menteri itu memang tiada,"

Malangnya kenyataannnya itu dibidas oleh sahabatnya sendiri, Ibrahim Ali yang bengang dan menyifatkan kenyataan Ali Rustam itu sebagai 'lebih sudu dari kuah' kerana membidas Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin itu..

"Urusan SPRM yang selama ini dianggap bebas dan berintegriti telah menjadi cemar.

"Biarlah SPRM tangani sendiri tanpa perlu campur tangan pihak luar. Kita tahu apa?

"Sebagai orang politik, masyarakat hanya melihat ada individu yang cuba mengambil kesempatan untuk menjadi juara kepada pihak tertentu," 

Tak cukup dengan itu Ibrahim Ali menambah.. Ali Rustam telah menunjukkan apa itu yang dikatakan sokong membawa rebah..

"Kalau ya ingin mencari kesempatan, carilah isu-isu lain seperti membela rakyat termiskin atau berbagai masalah yang dihadapi oleh kaum Melayu bumiputra atau rakyat amnya.

"SPRM memerlukan sokongan semua pihak jika benar-benar ingin melihat SPRM berkesan dalam peranannya memerangi rasuah dan Penyalahgunaan kuasa,"

Selain itu, Ibrahim juga berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd Ali dilihat boleh menyebabkan rakyat makin membenci Umno terutamanya kepada golongan muda.

Beliau berkata setiap kenyataan atau isu yang mahu diulas itu perlu dilakukan secara berhati-hati kerana akan memberi kesan kepada mereka yang ingin dibela itu tanpa menyebut sebarang nama.

"Setiap patah atau isu yang hendak disentuh kena berhati hati kerana akhirnya orang yang hendak dibela juga terkena tempiasnya.

"Inilah yang dikatakan sokongan membawa rebah," ~ Malaysiakini

Tak cukup dengan Ibrahim Ali.. muncul pula Bekas Ahli Panel Penasihat SPRM, Tan Sri Robert Phang menegur bekas Ketua Menteri Melaka itu kerana 'memukul curi' pegawai kanan agensi anti rasuah itu.

Katanya, sebagai bekas ketua menteri dan sekarang sebagai seorang senator, pemimpin Umno itu membuat kenyataan terbuka membidas pegawai SPRM.

"Sebaliknya, beliau perlu berinteraksi secara senyap-senyap dengan pihak berkuasa SPRM, apa yang diperkatakannya itu benar-benar, secara terang-terangan dan jelas memukul curi ke atas pegawai,"

Beliau juga menggesa Mohd Ali berhenti membuat tuduhan tidak berasas ke atas SPRM, terutama kerana beliau tidak tahu bagaimana tangan mereka terikat dan bahawa mereka tidak boleh bertindak balas.

"Malu kamu, Mohd Ali Rustam. Bersikap sebagai lelaki budiman dan memohon maaf kepada SPRM.

"Dan sebagai peringatan - serahkan kepada pihak berkuasa yang profesional untuk menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka dengan telus," ~ Malaysiakini

Kah.. kah.. kah... nak bodekpun agak-agak la Ali Rustam.. 


Mereka Ini Pemimpin 'BANGANG' Kata Khairuddin Kepada 14 ADUN..

Posted: 02 Feb 2016 06:08 AM PST


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai pemimpin "tidak bijak" kerana bersama dengan 14 ketua Umno bahagian Kedah dalam usaha menyingkirkan menteri besar, kata Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan itu berkata, Najib tiada alasan kukuh untuk menukarkan jawatan menteri besar Kedah memandangkan rakyat di negeri itu hidup aman damai di bawah kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir .

"Saya kata mereka ini pemimpin negeri 'bangang', termasuk ahli majlis tertinggi sekali dengan Najib. 

"Kerana hanya orang bangang yang bertindak mengikut nafsu dan kemahuan mereka sendiri dan bukannya kehendak rakyat.

"Pemimpin 'otak udang' kalau nak cakap tukar menteri besar, politik Kedah aman damai tenteram, orang PAS pun sayang Mukhriz.

"Jadi apa alasan kenapa baru sekarang nak tukar jawatan? Bagi saya tidak ada alasan langsung, kalau kata Kedah dalam situasi dilema sekurang- kurangnya mereka boleh beri alasan (tapi ini tidak)," katanya kepada pemberita di hadapan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan Najib untuk menyingkirkan anak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu akhirnya memakan diri.

"Tapi saya bersyukur hampir 2 minggu dengan kuasa Allah sehingga hari ini mereka gagal (menyingkirkan Muhkriz).

"Dan akhirnya kena balik kepada mereka dan memalukan Umno," katanya.

Pada masa sama beliau menyeru rakyat Kedah mengecam pemimpin negeri yang menolak Mukhriz dengan tidak mengundi mereka pada pilihan raya akan datang.

"Saya harap rakyat Kedah cam muka 'penyangak' 14 ini, bila nak bertanding dalam pilihan raya tolak undi mereka sekalipun bertanding dalam Umno," katanya.

Pada masa sama beliau juga berikrar akan menentang segala penipuan Najib meskipun dihalang dengan pelbagai cara lapor The Malaysian Insider


Kami Tidak Mahu Perubahan, Tukar PM Bukannya Tukar MB - Pembangkang Kedah

Posted: 02 Feb 2016 01:49 AM PST


Pembangkang di Kedah mempunyai 15 kerusi - lapan milik PAS, satu milik AMANAH, dua DAP dan PKR mempunyai empat.

Ketua Pembangkang dan ADUN Anak Bukit Amiruddin Hamzah memberitahu Malaysiakini bahawa beliau berada di Kuala Lumpur sehingga 8 Februari.

Manakala ADUN Bukit Selambau Dr R Krishnamoorthy pula berada di luar negara.

ADUN Alor Mengkudu dari parti PAS, Ahmad Yahya berkata 15 wakil pembangkang datang dengan kata sepakat bahawa mereka menyokong Mukhriz.

"Kami tak boleh setuju cara Umno mahu menyingkirkannya. Oleh itu, kami sepakat bahawa kami tidak mahu perubahan.

"Ini adalah kehendak rakyat juga," katanya kepada pemberita selepas meninggalkan bangunan itu pada kira-kira jam 4 petang.

HENTIKAN SEGERA KRISIS, UTAMAKAN KEPENTINGAN RAKYAT 
1. Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi junjungan kasih ke atas Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang turut menjemput semua ADUN dari parti pembangkang bagi mendapatkan pandangan berhubung kemelut yang berlaku di negeri Kedah sekarang. Tindakan yang diambil oleh pihak Istana ini adalah merupakan satu langkah terpuji, menghormati prinsip demokrasi serta hak-hak rakyat.

2. Semua ADUN Pembangkang Kedah mengambil sikap bersama; membantah sekeras-kerasnya tindakan sebahagian pemimpin BN negeri ini yang cuba menurunkan Dato' Seri Mukhriz Mahathir dari kedudukannya selaku Menteri Besar melalui cara yang tidak bersusila. Lebih mendukacitakan, tindakan tidak beradab tersebut dibuat sewaktu negeri ini sedang dalam tempoh meraikan Hari Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah. 
3. Jika Dato' Seri Mukhriz dinaikkan melalui laluan demokrasi maka proses menurunkannya juga mestilah dibuat mengikut amalan demokrasi, tidak gopoh, berperaturan serta menghormati kehendak rakyat. Tidak wajar hanya kerana mahu memenuhi kehendak politik individu tertentu maka semua pihak disusahkan; termasuk rakyat dan pihak istana. 
4. Bagi kami, pada ketika ini, tindakan menukar Menteri Besar Kedah tidak menjadi keutamaan berbanding dengan keperluan menukar Perdana Menteri Malaysia yang telah banyak menyusahkan rakyat.

5. Kami menggesa agar masalah kepimpinan utama Kerajaan Kedah ini diselesaikan dengan segera, kerana krisis yang berlarutan akan membantutkan urusan pentadbiran negeri yang membawa kesan buruk terhadap rakyat. Jika kemelut menghadapi jalan buntu, maka pilihan terbaik ialah penyelesaian mengikut amalan demokrasi menerusi suara rakyat melalui penentuan di Dewan Undangan Negeri. 
Sekian, terima kasih. 
ADUN2 Pembangkang Kedah
Bertarikh: 2 Februari 2016

Sumber kenyataan media dari ( SINI )


Bekas Menteri Fail Semakan Kehakiman Keputusan Peguam Negara Untuk Tidak Mendakwa Najib

Posted: 02 Feb 2016 12:00 AM PST


Pada Selasa, 2 Februari 2016 saya telah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk relief, melalui semakan kehakiman, ke atas perkara-perkara berikut:

1. Keputusan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak di bawah peruntukan Kanun Keseksaan yang sepatutnya dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009); dan  
2. Keputusan Peguam Negara mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menutup fail penyiasatan mereka ke atas kesalahan-kesalahan yang mungkin telah dilakukan oleh Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak. 

Alasan substantif bagi permohonan saya adalah: Keputusan yang telah dibuat oleh Peguam Negara adalah tidak munasabah dan merupakan pelaksanaan budi bicara yang tidak berpatutan. Peruntukan yang diberikan oleh Artikel 145(3) dalam Perlembagaan Persekutuan meletakkan tanggungjawab ke atas Peguam Negara untuk melaksanakan budi bicaranya dengan pertimbangan yang sewajarnya, dengan munasabah demi kepentingan rakyat dan dengan pertimbangan keadilan.

Saya juga berpuas hati — berdasarkan laporan dan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh SPRM and agensi-agensi lain yang menyiasat keadaan kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International — bahawa terdapat keterangan dan bukti yang kuat tentang kemungkinan adanya salahlaku dari pihak Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, yang berkemungkinan juga melibatkan Pecah Amanah Jenayah dan lain-lain kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Berdasarkan keadaan ini, saya memohon pelepasan dari pihak Mahkamah untuk mendengar permohonan saya untuk menyemak semula kedua-dua keputusan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dan arahan kepada SPRM untuk menutup fail penyiasatan mereka.

Sekiranya Mahkamah bersetuju untuk memberikan relief yang saya mohon, maka saya meminta Mahkamah untuk melakukan 3 perkara:

1. Mengeluarkan Perintah yang bersifat Certiorari untuk mengenepikan keputusan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Dato' Sri Najib Razak dan arahan yang diberikan kepada SPRM untuk menutup penyiasatan mereka.  
2. Membuat Perintah selanjutnya yang bersifat Mandamus untuk mengarahkan Peguam Negara menggunakan budi bicaranya di bawah Artikel 145(3) untuk mempertimbangkan dengan sewajarnya untuk memulakan prosiding jenayah terhadap Dato' Sri Najib Razak.  
3. Mengisytiharkan bahawa keputusan Peguam Negara mengarah SPRM untuk menutup penyiasatan mereka adalah ultra vires kepada bidang kuasanya di bawah Artikel 145(3) dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Saya terpaksa memulakan prosiding ini kerana saya terus-terang merasai khuatir tentang akibat teruk yang mungkin melanda kedaulatan undang-undang di negara ini sekiranya keputusan yang dilakukan oleh seorang individu tidak boleh dipertikaikan, tidak mengira fakta dan keadaan bagi sesuatu kes.



Sepanjang yang telah dinasihatkan kepada saya, konsep "budi bicara mutlak" tidak wujud di dalam undang-undang. Tanggapan budi bicara yang tidak terbatas ini adalah pada asasnya bertentangan dengan kedaulatan undang-undang, dan berdasarkan sebab inilah saya terpaksa bertindak.


Zaid Ibrahim
Kuala Lumpur
2 Feb 2016

Khairuddin Buat Laporan SPRM Terhadap Peguam Negara

Posted: 01 Feb 2016 10:00 PM PST


Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kerana salah guna kuasa.‎

Beliau yang hadir di bangunan SPRM kira- kira jam 11 pagi berkata, laporannya itu bertujuan agar SPRM menjalankan satu siasatan salah guna kuasa Apandi yang membabitkan kes derma RM2.6 bilion dan SRC International melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 

"Kita meminta SPRM menyiasat sama ada wujud atau berlakunya apa-apa unsur salah guna kuasa ataupun cuai jenayah beliau atas pendirian sikap peguam negara untuk membebaskan PM daripada 2 isu utama yang menjadi polemik pada isu di tanah air kita pada hari ini.

"Iaitu kes wang derma RM2.6 bilion dan juga kes wang syarikat SRC International yang berjumlah kurang RM42 juta ," katanya kepada pemberita di hadapan bangunan SPRM di Putrajaya hari ini.

Bekas pemimpin Umno yang pernah ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) itu mempersoalkan tindakan Apandi yang mengadakan sidang media mengarahkan SPRM menutup fail terhadap Najib.

"Siapa peguam negara hendak campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran SPRM?

"Apakah beliau mempunyai kuasa untuk berbuat demikian?

"Pada hemat saya juga, Apandi ini namanya dulu dikemukakan Najib kepada Agong untuk mengantikan tempat peguam negara lama, Tan Sri Gani Patail yang dibuang tanpa asas kukuh ini membawa erti Najib pilih Apandi sebagai peguam negara ," katanya lapor The Malaysian Insider


Pengarah Operasi Khas SPRM Sangkal Tulisan Raja Petra

Posted: 01 Feb 2016 07:43 PM PST


Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohamad Zin menafikan tohmahan Raja Petra Kamarudin dalam laporan Malaysia Today Sabtu lalu kononnya beliau bergaduh dan bertengkar dengan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkaitan isu kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Beliau yang turut menafikan segala tohmahan yang dilontarkan oleh Raja Petra dan portal kendaliannya pada Sabtu lalu telah membuat satu laporan polis di Putrajaya, semalam.

"Ya, saya ada buat satu laporan polis. Diharap siasatan ini akan membersihkan nama saya dan SPRM," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam laporannya, Bahri menegaskan, laporan portal itu mendakwa beliau bergaduh dan bertengkar dengan Abu Kassim, dan lain-lain dakwaan yang terdapat dalam portal itu, adalah tohmahan jahat dan fitnah.

"Tuduhan bahawa saya juga adalah ejen DAP dan mahu menjatuhkan Umno juga merupakan satu bentuk fitnah, yang bertujuan mencemarkan nama dan reputasi saya sebagai pegawai SPRM," katanya.

Bahri mahu pihak polis siasat tohmahan tidak berasas itu bagi membersihkan nama beliau dan reputasi SPRM.

"Tindakan saya sepanjang masa berkhidmat di SPRM adalah bertindak secara profesional berdasarkan undang-undang dan peraturan, dan mahu mempertahankan kebebasan SPRM," kata Bahri.

Bahri juga berkata, beliau mengenali dan yakin dengan Ketua Pesuruhjaya dan Pengurusan Tertinggi SPRM, di mana mereka telah membuktikan yang mereka sentiasa mempertahankan mana-mana pegawai yang mempertahankan kebebasan dan ketelusan SPRM dan bertindak secara adil dan profesional demi SPRM dan negara lapor Sinar Harian


"Sudahlah!!! Jangan Perbodohkan Orang Ramai.. " Dari Bekas Timbalan Pengarah SB Kepada Peguam Negara.

Posted: 01 Feb 2016 04:30 PM PST


Ini adalah kenyataan yang kedua selepas surat kepada Kerajaan oleh Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia Datuk Abdul Hamid Bador selepas beliau secara tiba-tiba dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Dalam kenyataannya beliau menasihati pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar berdiri teguh dan mempertahankan integriti agensi itu.

Ini berikutan tekanan supaya tindakan diambil terhadap Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zain kerana berkata pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menutup kes membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kepada semua pegawai SPRM saya menyeru supaya jangan sekali-kali takut dengan gertakan (atau) ugutan sesiapapun.

"Pertahankan kesucian peranan dan tanggungjawab agensi. Jalankan kerja dengan niat yang ikhlas demi kepentingan negara," katanya.

Sambil menasihati mereka supaya meneruskan tugas-tugas tanpa rasa takut dan pilih kasih, katanya, rakyat tahu menilai di antara yang baik dengan yang buruk.

Ini sebahagian kenyataan beliau..

Baru-baru ini Peguam Negara tampil mengumumkan keputusan beliau terhadap hasil siasatan SPRM. Kononnya Perdana Menteri tidak melakukan apa-apa kesalahan bersabit "wang derma RM2.6 billion" dan penyelewengan wang negara dalam SRC. Saya tidak tahu di mana beliau belajar undang-undang tetapi bagi orang seperti saya hasil siasatan SPRM itu amat jelas menunjukkan wujud salahlaku jenayah.

Betapakan tidak, dokumen carta aliran keluar masuk wang dalam SRC dan akaun bank peribadi Perdana Menteri yang dipamirkan oleh Peguam Negara itulah yang turut saya perolehi dan berbincang dengan pihak SPRM sewaktu saya masih memegang jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 dulu. Ketika itu saya aktif membantu Taskforce 1MDB yang ditubuhkan khas untuk menyiasat penyelewengan dalam entiti tersebut. Ibarat sudah terang lagi bersuluh. Mengapa dengan mudah Peguam Negara mengenepikan bukti ini. Bukan sekadar RM42 juta malahan berpuluh juta ringgit lagi digubah di dalam akaun ini dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Tidak kah Peguam Negara nampak bukti-bukti ini???

Berapa banyak dari wang negara ini yang telah diguna untuk menjelaskan hutang piutang kad kredit PM???

Cepat sungguh Peguam Negara dapat membaca hati PM dengan mengatakan bahawa PM tidak tahu menahu asal usul wang SRC itu!!! Jika PM menyatakan bahawa beliau tidak tahu wang tersebut adalah 'Public Fund' atau wang kerajaan mengapa sehingga saat ini pun beliau tidak MENGEMBALIKAN SEMULA wang tersebut kepada kerajaan ??? Ingat ya......bukan RM42 juta sahaja tetapi ada berpuluh juta lagi yang masih belum diisytiharkan.

Saya juga ingin bertanya di sini samada wang berbillion billion yang "didermakan" itu sudah dibayar cukai ataupun belum??? Jika belum, saya mohon LHDN menagih cukai tersebut supaya penderma misteri tersebut sedar bahawa di Malaysia ada undang-undang berkaitan dengan "derma" se macam ini.

Wahai Peguam Negara, ingatlah kuasa mutlak yang diberikan oleh Perlembagaan Negara itu wajib digunakan untuk melindungi kepentingan negara. Bukannya untuk menegakkan benang yang basah!!! Kuasa tersebut bukannya untuk digunakan sesuka hati bagi MELINDUNGI JENAYAH.

Jika Peguam Negara kurang yakin dengan segala bukti yang telah dikemukakan oleh SPRM maka aktifkan semula Special Taskforce 1MDB yang sekarang ini hanya tinggal nama sahaja.

Saya menawarkan diri untuk sama-sama tampil membantu taskforce ini menyiasat salahlaku pengurusan 1MDB. Saya amat yakin dengan kejujuran Tan Sri Zeti, Tan Sri Abu Kassim, Tan Sri Gani Patail dan saya sanggup berjumpa Tan Sri Khalid, KPN, untuk mendedahkan banyak bukti lain.

Sungguh janggal sekali apabila Peguam Negara bertindak mengarah siasatan kes ini dihentikan oleh semua pihak dan failnya ditutup. Amboi amboi amboi !!! Mudah sekali ya tugas dan tanggungjawab Peguam Negara yang baru ini. Mengapa rendah sangat martabat diri??? Siapa kah yang ditakuti........hantu, toyol, iblis, syaitan, puaka ???

Saya CABAR Peguam Negara agar bertindak dengan penuh amanah dan jujur supaya memberikan alasan-alasan untuk membuktikan PM tidak melakukan sebarang kesalahan dalam kes ini.

Menyentuh tentang wang derma RM2.6 billion. Ish...ish...ish... Cukuplah dengan segala pembohongan ini. Mengapa takut sangat nak dedahkan identiti penderma tersebut jika hamba Allah ini benar-benar wujud. Mengapa berdolak dalik dalam memberi jawapan sehinggakan Timbalan Perdana Menteri pun terpaksa 'masuk daun' untuk 'akun' (slang orang Sabah bagi perkataan 'mengaku') bahawa kononnya beliau telah bertemu dengan wakil penderma tersebut???

Sudahlah!!! Jangan perbodohkan orangramai. Fokuskan tugas itu untuk membasmi gejala judi cybercafe dan dadah yang berleluasa hampir di seluruh negara. Sudah berpuluh ribu belia di negara ini yang rosak akhlak akibat ketagihan benda-benda haram ini. Jangan cemar integriti diri sendiri untuk kepentingan politik.

Pendedahan Peguam Negara bahawa sebahagian besar wang "derma Arab halimunan" ini telah dikembalikan sungguhlah menakjubkan. Sekarang saya ingin bertanya, bolehkah Peguam Negara tunjukkan bukti bagaimana, caramana serta institusi bank mana atau syarikat mana proses pemulangan wang ini dilakukan ???



Jika tidak boleh dijelaskan maka wajarlah Peguam Negara segera mengeluarkan arahan kepada SPRM untuk mendapatkan bukti-bukti tersebut di luarnegara menerusi peruntukan MLAT. Saya amat yakin jejak wang atau money trail ini akan membuktikan bahawa penderma RM2.6 billion itu sebahagian besarnya adalah MITOS yang SENGAJA direka untuk menutup bangkai gajah.

Kenyataan penuh beliau silalah baca di ( SINI )
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...