Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Mengapa Orang Kuat MIC Yang Tipu RM5.5 Juta Masih Belum Didakwa Soal MyWatch

Posted: 23 Feb 2016 06:55 AM PST


Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali didesak supaya mendakwa bekas Bendahari Agong MIC, Datuk Ramanan Ramakrishnan atas kesalahan jenayah.

Pengerusi MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan berkata, bekas pemimpin kanan MIC itu sebelum ini memasukkan RM5.5 juta ke dalam akuan peribadinya setelah berjaya memalsukan surat serta tandatangan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada waktu itu.

"Mengapa sehingga ke hari ini, hampir 2 tahun berlalu namun Peguam Negara masih belum menyiapkan kertas tuduhan ke atas bekas Bendahari Agong MIC, Dato Ramanan Ramakrishnan?

"Datuk Ramanan pada 2014 lalu telah diperintah oleh mahkamah untuk membayar kembali sejumlah RM5.5 juta wang milik Pakar Perubatan, Tan Sri Dr. M. Mahadevan. Namun sehingga ke hari ini Dato Ramanan belum pernah dituduh atas kesalahan jenayah walaupun terlibat dengan pelbagai jenayah penipuan wang," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sanjeevan juga berkata pihaknya sebelum ini pernah mendedahkan kesalahan Ramanan bertindak menipu salah seorang ahli perniagaan berjumlah RM250,000 untuk mendapatkan pinjaman bank kononnya beliau mempunyai hubungan baik dengan Khairy Jamaluddin pada masa itu.

"MyWatch menggesa siasatan ke atas Datuk Ramanan dibuat tanpa rasa gentar oleh pihak berwajib kerana individu ini cukup licik menipu dan sering 'menjual' nama VVIP untuk mendapat kepercayaan mangsa-mangsanya," katanya lapor FMT


Anugerah Tendar Balak: Azmin Dan EXCO Tak Terlibat - Jabatan Hutan

Posted: 23 Feb 2016 04:30 AM PST


Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) hari ini menjelaskan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan exco negeri tidak terlibat dalam penganugerahan tender balak bagi tanah yang terlibat dalam 2 projek jajaran talian penghantar elektrik.

Penjelasan itu merujuk kepada jajaran talian elektrik dari Mahkota Cheras ke Mahkota Cheras Hartamas dan dari Bukit Tarek ke Chubadak yang sebelum ini dipertikaikan aktivis pro-PKR, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

"JPNS menegaskan, menteri besar dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak terlibat dalam proses menilai mana-mana permohonan yang diterima JPNS untuk tujuan ini.

"JPNS juga ingin mengulangi komitmen jabatan untuk menjamin proses yang terbuka dan telus dalam mengamalkan sistem pengurusan hutan secara berkekalan.

"Ia selaras dengan dasar kerajaan negeri yang berteraskan kebertanggungjawaban, ketelusan dan keterbukaan," kenyataan jabatan itu dipetik.

Menurut kenyataan itu, satu penilai permohonan untuk mengeluarkan hasil tanah itu, yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pengurusan Perhutanan Negeri Selangor, melantik 2 kontraktor bagi mengeluarkan hasil tanah kawasan terlibat.

Jawatankuasa itu berpuas hati dengan kerja 2 kontraktor itu yang diberikan lesen selama 6 bulan bagi melakukan kerja mengeluarkan hasil dari tanah yang terlibat.

Sebelum ini, pengasas SAMM Badrul Hisham Shaharin mendakwa kerajaan Selangor tidak telus dan menganugerahkan tender pembalakan secara terus kepada 2 syarikat.

Dakwaan itu bagaimana pun dinafikan Azmin yang menganggapnya tuduhan tidak berasas lapor The Malaysian Insider


"Jujur.. Jangan Belit" Nasihat PKR Buat Guan Eng

Posted: 23 Feb 2016 01:26 AM PST


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dituntut berlaku jujur dalam semua perkara yang melibatkan pentadbiran Pakatan Harapan.

Malah, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafie juga mahu Lim berhenti daripada memutarbelitkan keadaan sekali gus mengalih isu sebenar.

"Apa yang disebutkan oleh (Menteri Besar Selangor) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah mewakili parti. Lim janganlah tak faham dan sengaja membelitkan keadaan serta mengalih isu sebenar.

"Lim selalu sangat memberikan persepsi terbalik atas sesuatu isu dan untuk kali ini beliau dituntut berlaku jujur atas semangat Pakatan Harapan," kata ADUN Seri Muda itu.

Beliau merujuk rasa tidak senang Lim - yang juga adalah Setiausaha Agung DAP - lalu membidas Azmin kerana "campur tangan" dalam pentadbirannya ekoran pengguguran dua ADUN daripada PKR di Pulau Pinang.

Menurut Lim, beliau menggugurkan ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng kerana tidak lagi boleh mempercayai mereka.

November lalu, Ong dan Cheah adalah antara lima wakil rakyat PKR Pulau Pinang mengambil sikap berkecuali pada sesi undian terhadap rancangan kerajaan negeri melaksanakan projek tebus guna tanah pinggir laut di negeri berkenaan.

Lim menuduh mereka "menikam belakang" selepas berjanji tidak akan menentang usul yang dibentangkan itu.

Kedua-dua mereka diketepikan daripada jawatan pengarah dua syarikat berkaitan kerajaan. Ong ditamatkan perkhidmatannya di Penang Invest and Island Golf Properties Bhd, manakala Cheah digugurkan daripada Perbadanan Bukit Bendera.

Mengulas lanjut, Shuhaimi menegaskan tindakan Azmin dibuat mengikut keputusan parti dan bukan atas kapasitinya sebagai Menteri Besar Selangor.

"Azmin menyebut (pendirian dibuat adalah) keputusan parti, bukan keputusan beliau selaku menteri besar. Tiada kena mengena dengan kedudukan selaku Menteri Besar Selangor dan kenyataan beliau adalah atas kapasiti Timbalan Presiden PKR yang menyuarakan secara terus terang pendirian parti," kata Shuhaimi.

Pada masa sama, menurutnya perbezaan pandangan dalam Pakatan Harapan wajar dilihat sebagai kematangan berpolitik dan bukan kelemahan gabungan secara keseluruhan.

"Setiap parti (perlu) berlapang dada dan berusaha mengurangkan perbezaan pandangan supaya Pakatan Harapan kekal mantap disokong rakyat," tambah Shuhaimi lapor MalaysiaKini


Setelah Berkali-kali Ditangguh.. Pembentangan Audit 1MDB Ditangguh Lagi..

Posted: 22 Feb 2016 10:00 PM PST


Pembentangan laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah ditangguhkan ke minggu pertama bulan Mac.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin berkata laporan itu tidak akan dibentangkan esok dan pada hari Khamis, seperti yang dijadualkan sebelum ini, kerana kebanyakan anggota PAC berada di luar negara.

Katanya, adalah penting bagi semua anggota PAC hadir untuk mendengar pembentangan laporan audit ke atas 1MDB.

Oleh itu, laporan audit mengenai 1MDB akan dibentangkan pada tarikh baru, dijangka pada minggu pertama bulan Mac, katanya dalam satu kenyataan hari ini lapor MalaysiaKini


Nazri Aziz 'Kaki Bodek', Berlagak Macam Penyangak - GKCM

Posted: 22 Feb 2016 06:31 PM PST


Gabungan Ketua Cawangan UMNO Malaysia (GKCM) menuduh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz sebagai pengampu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menerusi kenyataan hari ini, GKCM membidas Nazri susulan tindakannya yang mencadangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO supaya menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin jika enggan melepaskan jawatan Timbalan Presiden parti secara sukarela susulan kritikannya terhadap Perdana Menteri secara berterusan.

"Selepas Tengku Adnan, Ahmad Maslan dan dua budak Sabah, kini muncul pula Nazri Aziz yang tampil dengan kenyataan bacul mengampu Presiden UMNO.

"Nazri mungkin tidak mahu ketinggalan dalam perlumbaan di garisan terakhir untuk mengampu Presiden yang menanti masa untuk rebah. Tuduhan Nazri terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah melampau," kata kenyataan itu.

Gerakan anti Perdana Menteri turut menyifatkan Nazri sebagai perosak dalam UMNO kerana perjuangannya adalah untuk mendapat ganjaran berbanding mahu membangunkan parti.

"Nazri adalah antara karektor perosak dalam sejarah UMNO. Jika kita kaji sejarah keruntuhaan empayar Rom, kita akan dapati bahawa sebab utamanya ialah rasuah yang diamalkan oleh pembesar istana.Tindakan Nazri ini sama dengan pembesar Rom yang mengampu untuk mendapatkan sesuatu," dakwanya.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga menyifatkan Nazri sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan yang lemah dalam Kabinet.

"Tiada yang hebat tentang Nazri sebagai menteri selain daripada menunjuk lagak penyangak dan menentukan anak-anaknya hidup dalam kemewahan. Nazri selama menjadi menteri UMNO memang tidak mempunyai sebarang keistimewaan.

"Kami sudah meluat melihat pemimpin seperti Nazri yang cuba memperbodohkan kami untuk kesenangan mereka anak beranak," ujarnya lagi lapor Free Malaysia Today


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...