Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Video Saya Tidur Lena Itu Diedit Kata Ahmad Bashah

Posted: 03 Feb 2016 02:00 AM PST


Bakal Menteri Kedah Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, beliau telah menjelaskan perkara sebenar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkenaan video beliau tidur yang menjadi viral di media sosial.

ADUN Bakar Bata berkata, beliau telah menjelaskan kepada Najib bahawa video itu hanya disensasikan dan didakwa telah diedit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Video lena itu diviralkan. Kadang-kdang kita rasa lebih khusyuk bila dengan aksi sebegitu. Sedangkan saya duduk di barisan hadapan.

"Mungkin ia diedit tapi bila saya berjaga (sedar) tak diambil pula. Itu biasa kerana isu tengah berjalan.

"Saya kata kepada Perdana Menteri saya tak lena. Dia kata biasa la tu dalam Parlimen pun pejam," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat UMNO Kedah sebentar tadi.

Ahmad Bashah berkata, beliau tidak mengambil hati dengan kenyataan sinis Mukhriz yang menasihatkan agar beliau tidak tidur lena sewaktu mengangkat sumpah esok.

Malah, beliau menyifatkan teguran itu sebagai asam garam dalam politik dan mengambilnya sebagai semangat dalam menjalankan tugas kelak.

"Kenyataan Mukhriz, saya tak ambil hati. Saya jadikan ia semangat. Saya tak marah," katanya.



Sebelum itu Ahmad Bashah dilantik menggantikan Mukhriz selepas anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah, pagi tadi.

Bashah akan mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit jam 10 pagi esok lapor Free Malaysia Today


Video tengoklah di ( SINI )

Bekas Pemimpin UMNO Pula Cabar Keputusan Peguam Negara Enggan Dakwa Najib

Posted: 03 Feb 2016 12:00 AM PST


Seorang lagi bekas pemimpin Umno ke mahkamah untuk mencabar keputusan peguam negara yang enggan mendakwa Datuk Seri Najib Razak atas kesalahan terbabit dalam skandal kewangan, sehari selepas Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan yang sama.

Bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan akan memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk mengetepikan keputusan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang tidak mahu merangka pertuduhan jenayah terhadap perdana menteri.

"Anak guam saya juga akan memohon perintah untuk memaksa peguam negara memberi kebenaran kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumpul bukti di luar negara," kata peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin kepada The Malaysian Insider.

Katanya, Khairuddin juga akan mohon pengisytiharan daripada mahkamah iaitu Apandi yang juga pendakwa raya tidak ada bidang kuasa mengarahkan SPRM menutup kertas siasatan berhubung isu RM2.6 bilion dan RM42 bilion berkait kepada SRC International Sdn Bhd.

Beliau berkata asas memohon kebenaran itu ialah Apandi bukan peguam negara dan pendakwa raya yang sah susulan penyingkiran penyandangnya Tan Sri Abdul Gani Patail dibuat secara tiba-tiba pada 28 Julai.

Gani mengetuai pasukan petugas khas menyiasat isu RM2.6 bilion, SRC dan kerajaan yang ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika beliau disingkirkan daripada jawatannya dengan masalah kesihatan dijadikan sebagai alasan.

Hanif berkata, asas lain ialah Apandi melanggar keadilan dan berdepan dengan konflik kepentingan.

"Beliau juga tidak bertindak sebagai pendakwa raya yang munasabah tetapi lebih menjadi seperti peguam untuk membebaskan Najib daripada dituduh pada sidang media minggu lalu (26 Januari)," katanya.

Peguam itu berkata, Apandi melebihi bidang kuasanya mengikut Artikel 145 (3) untuk mengarahkan SPRM menutup kertas siasatan.

Selasa lalu, Apandi mengumumkan selepas 6 bulan melakukan siasatan, SPRM tidak mempunyai bukti mencukupi untuk membolehkan beliau merangka pertuduhan terhadap perdana menteri dan mengarahkan kertas siasatan ditutup.

Tiga kertas siasatan itu ialah mengenai sumbangan RM2.6 bilion dan 2 lagi terhadap SRC International, yang mengambil pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Haniff berkata Khairuddin juga akan memfailkan permohonan jenayah di Mahkamah Tinggi lain untuk mendapatkan pengisytiharan pendakwaan yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan cubaan mensabotaj ekonomi Malaysia dan kewangan negara dan sistem perbankan itu tidak mengikut perlembagaan.

"Ini kerana anak guam saya mempersoalkan pelantikan Apandi sebagai peguam negara dan pendakwa raya," katanya.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Acara Jenayah tidak memberikan perlindungan kepada Apandi kerana pelantikannya dianggap tidak sah susulan penyingkiran Gani yang boleh dipertikaikan.

Pada 12 Oktober, Khairuddin dan peguamnya Matthias Chang didakwa di hadapan majistret atas kesalahan mensabotaj ekonomi Malaysia dan kewangan negara dan sistem perbankan selepas Khairuddin membuat laporan polis terhadap 1MDB.

Pada 18 November Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kedua-duanya untuk mendapatkan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM10,000 dan memerintahkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun.

Khairuddin ditahan pada 8 September dan Chang, yang juga bekas pegawai khas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ditahan pada 8 Oktober.

Rayuan pihak pendakwaan akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 26 Februari ini lapor The Malaysian Insider



Mukhriz Dedah Sebab Disingkir..

Posted: 02 Feb 2016 09:38 PM PST


Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan penyingkirannya selaku menteri besar Kedah berpunca daripada kritikan lantangnya terhadap skandal membabitkan perdana menteri berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion.

Dalam pengumuman peletakan jawatannya hari ini, Mukhriz berkata, isu-isu yang dibangkitkan tersebut merupakan alasan sebenar beliau disingkirkan.

"Sesungguhnya alasan sebenar tindakan ini diambil ke atas saya ialah kerana kritikan yang saya suarakan terhadap perdana menteri seperti yang beliau sendiri akui.

"Kritikan yang dimaksudkan adalah mengenai skandal 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion dan meningkatnya bebanan sara hidup rakyat akibat GST (cukai barang dan perkhidmatan)," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman pagi ini lapor The Malaysian Insider

Sementara itu menurut Malaysiakini, Mukhriz juga telah ditawarkan jawatan Timbalan Menteri oleh Najib agar melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah, namun beliau menolaknya..

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata usaha untuk menyingkirkannya sebagai menteri besar Kedah tidak akan mendiamkan beliau daripada mengkritik isu sumbangan RM2.6 bilion dan 1MDB. 
"Tetapi sekarang saya rasa merdeka dan bebas dan tidak akan berdiam diri," katanya. 
Ketika ditanya adakah beliau akan bersara daripada politik, Mukhriz berkata: "Tidak, ia darah daging saya. Jika rakyat masih mahukan saya, saya akan teruskan. 
Beliau juga memberitahu sidang media di pejabat pentadbiran negeri di Wisma Darul Aman bahawa beliau menolak tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk jawatan timbalan menteri.




Mukhriz Umum Lepas Jawatan MB Kedah.. Ahmad Bashah MB Baru..

Posted: 02 Feb 2016 06:47 PM PST


Krisis Menteri Besar Kedah dilihat hampir ke penghujungnya apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan beliau akan berundur dari jawatan tersebut.

Pengunduran ini akan dibuat secara rasmi menerusi satu sidang media sebentar tadi. Mukhriz mengumumkan pengunduran tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Mukhriz terpaksa berbuat demikian selepas Jemaah Pemangku Sultan Kedah berpuas hati bahawa Adun Ayer Hitam itu telah hilang kepercayaan daripada majoriti Adun negeri itu.

Difahamkan, istiadat angkat sumpah Menteri Besar akan diadakan pada Khamis ini lapor Sinar Harian



Dan Malaysiakini melaporkan Ahmad Bashah bakal dilantik menjadi Menteri Besar Kedah yang baru..

Selepas dua minggu pergolakan politik melanda Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersetuju untuk melepaskan jawatannya sebagai menteri besar.

Timbalan ketua badan perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah akan menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar yang baru.

Mukhriz membuat pengumuman itu dalam satu sidang media di pejabat pentadbiran negeri di Wisma Darul Aman hari ini, dan mengakhiri kemelut dalam kepimpinan Umno Kedah yang mahu beliau berundur.

Mukhriz mengambil keputusan untuk berundur selepas dimaklumkan oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah bahawa beliau telah hilang keyakinan majoriti ADUN di negeri ini.

Dua puluh satu ADUN BN dan 15 ADUN pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah telah menyuarakan pandangan mereka kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada hari Isnin dan Selasa lalu.

Pelantikan Ahmad Bashah sebagai menteri besar Kedah yang baru diumumkan dalam satu sidang media khas oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din pagi ini.



Tiada Lagi Sokongan Majoriti.. Mukhriz Umum Letak Jawatan Hari Ini?

Posted: 02 Feb 2016 04:00 PM PST


Kemelut politik Kedah yang berpanjangan hampir ke penghujung apabila Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijangka meletak jawatannya hari ini selepas tidak lagi memiliki sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), kata sumber.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider Jemaah Pemangku Sultan Kedah sudah memaklumkan kepada Mukhriz beliau sudah tidak lagi memiliki sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah dan perlu melepaskan jawatan yang disandangnya.

"Petang tadi (semalam) ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah berpuas hati yang Mukhriz sudah hilang kepercayaan daripada majoriti Adun dalam Kedah," kata sumber kepada The Malaysian Insider selepas menghadiri mesyuarat dengan Adun Barisan Nasional (BN) di Hotel Grand Alora, Alor Setar.

Sumber mengatakan keputusan itu dibuat jemaah selepas pertemuan terakhir diadakan dengan semua Adun pembangkang yang diadakan di Wisma Darul Aman petang semalam.

Petang semalam, seramai 13 Adun pembangkang daripada PAS, PKR, DAP dan Amanah menghadiri pertemuan secara individu dengan jemaah, yang terdiri daripada Pengerusinya Tunku Temenggong Tan Sri Tunku Sallehuddin Badlishah, Tunku Laksamana Datuk Seri Diraja Tunku Abdul Hamid Thani Badlishah dan Puteri Sulung Sultan Kedah Tengku Panglima Besar Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Terdahulu, The Malaysian Insider melaporkan Adun BN kekurangan sokongan apabila terdapat 2 wakil rakyat yang membelot dan menyatakan sokongan kepada Mukhriz semasa pertemuan pada Isnin lalu bersama semua Adun BN.

Menurut sumber, laporan media mengatakan semua wakil rakyat pembangkang menyokong Mukhriz sebagai tidak tepat kerana terdapat di kalangan mereka yang tidak menyokong menteri besar itu.

"Keputusan jemaah tepat sebab tidak dengar daripada pihak ketiga, kesimpulannya sah akan ada menteri besar baharu.

"Cuma tarikh angkat sumpah tidak pasti tapi kami harap secepat mungkin," kata sumber.

Sumber tidak mendedahkan nama menteri besar baharu dan menyerahkan kepada pihak Istana Kedah untuk mengumumkannya nanti.

Menurut sumber, Mukhriz sendiri sudah bersetuju untuk meletak jawatan hari ini dan juga membatalkan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) mingguan hari ini susulan perkembangan terbaharu ini.

"Mukhriz panggil semua pegawai khas beliau ke kediaman rasminya malam ini untuk memberitahu keputusan tersebut.

"Beliau juga sudah bersetuju letak jawatan. Mesyuarat exco dibatalkan, mungkin malam ini ada pengumuman atau esok (hari ini). Tidak pasti," katanya.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan Mukhriz semasa tidak menafikan mengenai spekulasi peletakan jawatan hari ini cuma memberitahu hari ini satu sidang media akan diadakan di Wisma Darul Aman jam 10 pagi.

"Untuk makluman media, sidang media Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan diadakan hari ini di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Aman," kata sumber dari pejabat menteri besar.

Sumber dari pejabat Mukhriz juga memberitahu satu pengumuman besar akan dibuat dalam sidang media hari ini.

"Betul, tunggu sahaja pengumuman esok (hari ini)," kata sumber Mukhriz apabila ditanya mengenai peletakan jawatan hari ini.

Kemelut politik Kedah sudah berlarutan lebih seminggu selepas sidang media diadakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 20 Januari lalu.

Bagaimanapun, tanda tanya mengenai menteri besar baharu menjadi misteri apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengumumkan menteri besar baharu walaupun sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Jemaah Diraja Kedah, dipercayai bagi membincangkan calon pengganti Mukhriz.


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...