Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Ini Bukan Amaran SKMM, Ia Satu Kenyataan Palsu - SKMM

Posted: 08 Feb 2016 06:30 AM PST



Aktivis Fahmi Reza sekali lagi menimbulkan kemarahan pihak berkuasa, kali ini melalui parodi dalam bentuk poster yang menunjukkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memberi amaran kepada orang ramai ia akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan gambar yang menghina pemimpin negara.

Ketua Bahagian Komunikasi Strategik SKMM Sheikh Raffie Abd Rahman berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan amaran sebegitu.

"Ia bukan kenyataan SKMM, ia satu kenyataan palsu, kami tidak mengeluarkan amaran seperti itu," beliau memberitahu The Malaysian Insider.

Poster yang dimuat naik Fahmi di media sosial hari ini mengandungi perkataan "Amaran" dalam tulisan "bold" dengan mesej bertajuk "Henti Sebar Gambar Mengaibkan Pemimpin Negara".

"Kami sedang menyiasat perkara ini, kami akan selidik habis-habisan tetapi orang ramai tidak sepatutnya menyebarkan kenyataan itu. Ia kenyataan palsu," kata Raffie.

Fahmi berkata ia dibuat dengan tujuan sebagai satu parodi.

"Saya yang mereka poster amaran itu, sebagai satu satira politik dan parodi untuk menyerlahkan betapa mengarutnya amaran yang dikeluarkan kerajaan terhadap tindakan menyebarkan gambar badut; yang bertentangan dengan kebebasan Internet," katanya.

Poster itu berbunyi: "Orang ramai diberi amaran supaya berhenti menyebarkan gambar-gambar pemimpin negara yang diubahsuai menyerupai badut seperti dalam gambar di atas menerusi laman sosial termasuk aplikasi 'Whatsapp'.

"Adalah menjadi satu kesalahan bila berkongsi atau menyebarkan kandungan sedemikian kerana ia melanggar undang-undang negara khususnya Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Jika didapati bersalah, hukumannya adalah denda tidak melebihi RM50,000 dan/atau tidak lebih satu tahun penjara."

Tetapi Raffie berkata, walaupun tanpa kenyataan seperti itu, orang ramai tidak perlu menyebarkan foto pemimpin yang disunting secara digital pihak tertentu.

Gambar Datuk Seri Najib Razak berwajah badut membanjiri media sosial akhir-akhir ini, selepas aktivis dari kalangan artis grafik dan digital menyatakan solidariti menyokong Fahmi.

Fahmi sebelum itu diberi amaran polis kerana memuat naik posting di Twitter dengan karikatur badut perdana menteri pada 31 Januari. lapor The Malaysian Insider


Menteri Bercanggah Pendapat Mengenai Pindaan OSA

Posted: 08 Feb 2016 04:32 AM PST


Dua menteri hari ini bercanggah pandangan mengenai cadangan Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali mengenakan hukuman lebih berat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) walaupun langkah yang dicadangkan itu terang-terangan diselar kumpulan masyarakat sivil dan wartawan.

Hanya beberapa jam selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman ini menyokong cadangan itu, rakan Kabinet beliau Datuk Paul Low sebaliknya berkata, pemberi maklumat perlu dilindungi.

Low, menteri yang bertanggungjawab menjaga tadbir urus yang baik dan ketelusan berkata, selagi maklumat dibocorkan dengan tujuan mendedahkan salah laku, pihak yang membuat pendedahan patut diberikan perlindungan kerajaan.

"Terdapat kes di mana mungkin ada penyalahgunaan kuasa. Jadi, jika ada penipuan dan rasuah, kakitangan awam sepatutnya boleh menyampai maklumat melalui saluran yang dipercayai, seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

"Pada masa ini, di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, pemberi maklumat tidak boleh mendedahkan maklumat di bawah OSA.

"Oleh itu, kerajaan perlu beri pengecualian: walaupun ia di bawah OSA, jika maklumat yang bocor adalah berkaitan dengan rasuah, penyalahgunaan dan penipuan, maka OSA perlu membenarkan pemberi maklumat ini dilindungi," kata Low.

Azalina menyambut baik cadangan Apandi, menyifatkan ia tepat pada masanya, kerana katanya penjawat awam membocorkan terlalu banyak maklumat.

Membandingkan dengan situasi di Amerika Syarikat, beliau berkata, negara Barat itu juga "tiada kebebasan mutlak, untuk media atau sesiapa saja."

"Saya merasakan apa yang peguam negara katakan amat sesuai untuk Malaysia, peguam negara khuatir dengan kebocoran maklumat.

"Terdapat banyak maklumat kerajaan yang bocor. Ia tidak berlaku di negara lain, tetapi hanya berlaku di Malaysia," kata Azalina selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Tetapi Low berkata, beliau menentang langkah Apandi itu, yang antara lain, mencadangkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan terhadap pesalah di bawah OSA.

Beliau berkata, daripada mengenakan hukuman yang menyeluruh begitu, kerajaan perlu mengkaji semula tahap maklumat sulit di bawah OSA.

Sebagai contoh, seseorang yang mendedahkan nama ejen rahsia dan meletakkan nyawa mereka dalam bahaya, seperti dalam kes WikiLeaks, patut dihukum, kata Low.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak semua rahsia negara boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Jadi, kerajaan perlu menimbang sejauh mana ia memudaratkan jika maklumat tertentu bocor. Kita tidak boleh merangkumkan semuanya sebagai rahsia.

"Apabila anda berbuat demikian, anda mundur ke belakang dan lari dari sikap bertanggungjawab dan telus."

Low berkata beliau akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet sekiranya ia menerima cadangan pindaan OSA itu daripada Apandi.

"Jika kami menerima cadangan itu, kami akan melihat dan mengkaji setakat mana ia munasabah dan apa matlamat yang ingin dicapainya." lapor The Malaysian Insider



-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...