Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Naib Presiden Kanan Yang Terlibat Skandal 1MDB, Tinggalkan Bank BSI

Posted: 11 Mar 2016 06:30 AM PST


Seorang kakitangan bank swasta yang yang mengendalikan transaksi antara Bank BSI dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah meninggalkan bank tersebut.

Yak Yew Chee, seorang naib presiden kanan di BSI sedang menghadapi siasatan berhubung pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

"Beliau bukan lagi kakitangan bank ini," kata jurucakap bank tersebut.

Yew Chee dikaitkan sebagai individu utama dalam siasatan pengubahan wang haram, menurut dokumen yang dikeluarkan di Mahkamah Tinggi Singapura.

Singapura sedang menjalankan siasatan pengubahan wang haram ke dalam akaun bank dikaitkan dengan 1MDB, yang mencetuskan tindakan undang-undang di tiga benua.

Yew Chee mengambil cuti tanpa gaji selama lima bulan sejak tahun lalu manakala BSI menyiasatnya atas dakwaan salah laku yang berkaitan dengan akaun pelanggan, menurut dokumen mahkamah. 

Beliau kembali semula ke BSI pada bulan Oktober dan gaji bulanan terakhirnya hampir S$83,000 pada 27 Januari, menurut afidavit mahkamah.

Beberapa akaun Yak di Singapura disiasat dan telah dibekukan bersama-sama sejumlah S$ 9.7 juta, menurut dokumen mahkamah ~ MalaysiaGazette



Mahathir Ditamatkan Khidmat Sebagai Penasihat Petronas..

Posted: 11 Mar 2016 04:30 AM PST


Kabinet hari ini bersetuju sebulat suara menamatkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Pejabat perdana menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata kabinet berpendapat demikian kerana Dr Mahathir tidak lagi mendukung kerajaan sedia ada, beliau sewajarnya tidak lagi memegang sebarang jawatan yang ada kaitan dengan kerajaan.

"Kabinet hari ini sudah membincangkan tindakan-tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, khususnya dalam melancarkan Deklarasi Rakyat bersama pemimpin pembangkang pada minggu lepas.

"Deklarasi tersebut bertujuan menjatuhkan kerajaan menerusi satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan negara," kata kenyataan itu.

Dr Mahathir dilantik sebagai penasihat Petronas susulan persaraannya sebagai perdana menteri pada 2003.

Beliau juga merupakan pengerusi Proton Holdings sejak Jun 2014 lapor The Malaysian Insider



Allah Hina Rakyat Yang Tidak Hormat Pemimpin, Kata Jakim

Posted: 11 Mar 2016 02:05 AM PST


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengingatkan umat Islam agar mentaati pemimpin kerana ia salah satu perintah Allah.

Melalui khutbahnya hari ini, jabatan itu berkata pemimpin bukan sahaja mempunyai tanggungjawab terhadap rakyat tetapi pemimpin juga berhak mendapat keadilan daripada rakyatnya.

"Sesiapa yang memuliakan dan menghormati pemerintah, maka Allah akan memuliakannya pada hari kiamat.

"Manakala mereka yang tidak memuliakannya (pemimpin), maka Allah akan menghinanya pada hari kiamat kelak.

"Perbuatan merendah-rendahkan pemimpin ibarat melepaskan tali kekang Islam dari lehernya," teks khutbah bertajuk "Ujian Sebuah Kesetiaan" dipetik.

Mimbar berkata larangan menghina pemimpin terdapat dalam hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad daripada Abu Dzar.

"Sesungguhnya akan muncul selepasku pemerintah, maka janganlah engkau menghinanya, sesiapa yang ingin menghinanya, maka sesungguhnya dia telah melepaskan tali kekang Islam dari lehernya," mafhum hadis seperti dipetik dalam teks khutbah.

Khutbah hari ini turut mengingatkan bahawa mentaati penguasa atau pemerintah umat Islam menjadi salah satu prinsip dalam iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Teks itu menyebut umat Islam wajib memahami tanggungjawab dan menghormati pemimpin, bahkan menyokong apa yang telah dirancang.

"Rakyat wajib taat kepada pemerintah dan negara. Jika mereka cuai dan tidak bertanggungjawab, maka mereka tidak beradab di sisi Allah.

"Kombinasi antara pemerintah yang adil dan rakyat yang taat akan mencetuskan kebaikan yang merata dalam sesebuah masyarakat dan dinikmati oleh semua pihak.

"Bagaimana mungkin kita mampu mengecapi semua nikmat ini seandainya barisan kepimpinan kita bukan dalam kalangan yang layak iaitu adil, cekap, bijak dan prihatin?" kata khutbah lapor MMO



“Yang Keluar PERKASA Tu Pencacai UMNO” - Ketua Wira PERKASA

Posted: 11 Mar 2016 12:12 AM PST


"Hanya pencacai UMNO sahaja yang keluar PERKASA. Mungkin mereka juga telah dibayar," kata Ketua Wira PERKASA, Irwan Fahmi Idris.

Beliau mengulas tindakan 30 ahli PERKASA Parlimen Klang/Kapar yang bertindak keluar pertubuhan itu malam tadi, kerana tidak setuju kepimpinan PERKASA bersekongkol dengan DAP.

Beliau berkata, mereka yang keluar pertubuhan itu sebenarnya tidak faham dengan perjuangan sebenar PERKASA.

"Ahli PERKASA kita ada lebih 10 ribu di kawasan Parlimen Klang/Kapar, kalau nak dibahagikan dengan 30 orang yang keluar berapa sangat yang keluar, dan 30 orang yang keluar PERKASA itu hanyalah pencacai UMNO atau mungkin dibayar.

"Mereka yang keluar PERKASA itu sebenarnya dia tidak faham apa erti perjuangan PERKASA, kita sebagai NGO kita tak pernah berpihak kepada mana-mana parti politik," katanya kepada FMT.

Fahmi pada masa sama membidas sikap pemimpin dan ahli UMNO yang mendakwa PERKASA bersekongkol dengan DAP apabila Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berjabat tangan dengan Lim Kit Siang di pentas 'Deklarasi Rakyat'.

"UMNO kata PERKASA bersekongkol dengan DAP tak benar, setakat salam dengan pemimpin DAP takkan tak boleh, Nabi sendiri pun pernah kata hendaklah kamu berbuat baik dengan musuh kamu.

"Ibrahim Ali salam semua nak bising, tentang pemimpin UMNO berpeluk cium di Parlimen itu macam mana pula? Mereka nak bising gembar-gembur berita, mereka tak faham erti perjalanan jadi mereka tak faham apa itu PERKASA.

"Saya yakin kalau DAP masuk BN tidak akan ada isu yang berlaku seperti yang berlaku kepada PERKASA sekarang. BN kena ingat sekiranya mereka bermusuh dengan PERKASA mereka akan rugi besar kerana ahli kita ramai di seluruh negara," katanya.



IKATAN Nafi Akan Bersama PAS Bentuk Blok Ke 3

Posted: 10 Mar 2016 07:56 PM PST


PAS menamakan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) sebagai salah satu parti yang berpotensi menjadi sekutunya bagi membentuk blok ke-3 politik di negara ini namun ia dinafikan pemimpin tertinggi Ikatan.

Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menyebut Ikatan sebagai parti tersebut sewaktu bercakap kepada wartawan di lobi Parlimen, semalam.

"Kita yakin ada lagi parti yang tidak bersedia bersama Pakatan Harapan dan Umno.

"Sebagai contoh, Ikatan dan di luar sana banyak lagi parti kecil di Sabah dan Sarawak.

"Di samping itu ada organisasi bukan kerajaan (NGO) yang tidak masuk parti, seperti Kongres Rakyat," Khairuddin dipetik berkata Sinar Harian hari ini.

Namun, portal The Star Online semalam melaporkan penafian Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengenai perkara itu.

"Tidak, ia tak benar. Kami rapat dengan PAS tetapi kami tiada hubungan rasmi," katanya.

PAS semalam berkata mereka akan mengumumkan blok ke-3 politik itu pada 16 Mac ini lapor The Malaysian Insider



Alamak! Petisyen Keluarkan Potret Najib Di Universiti Nottingham, UK Pulak Dikemuka..

Posted: 10 Mar 2016 04:30 PM PST


Satu petisyen sudah dikemukakan kepada Universiti Nottingham, United Kingdom, untuk mengeluarkan potret Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dari dinding alma mater universiti mereka.

Petisyen, yang dikemukakan Cassandra Hooi dalam web www.change.org , Persatuan Pelajar Malaysia di universiti itu bertujuan melobi institusi tersebut untuk mengeluarkan potret setinggi 2 meter tersebut dari dinding di kampus Kings Meadow.

Hooi berkata petisyen itu merupakan "satu luahan bersama berhubung tindakan percanggahan pendapat susulan keengganan perdana menteri menjawab perkara yang mencurigakan iaitu pemindahan RM2.6 bilion ke dalam akaunnya peribadinya."



"Tindakan yang mudah mampu menghantar mesej yang kuat kepada PM kita yang sudah tiba masanya untuk beliau menjawab dengan benar dan jelas mengenai dakwaan tersebut.

"Universiti Nottingham berkongsi hubungan baik dengan PM, beliau adalah alumni di sini, oleh itu sejurus selepas potret itu dikeluarkan secara umum, ia akan menjadi simbol yang kuat dan signifikan berhubung perbezaan pendapat bersama, mengenai jawapan PM yang tidak memuaskan kita," katanya dalam petisyen itu.

Najib menuntut di Universiti Nottingham sebelum kembali ke Malaysia pada usia 23 bagi bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen selepas kematian bapanya, Tun Abdul Razak Hussein. Beliau kekal sebagai ahli Parlimen Pekan sejak itu, dan menjadi perdana menteri pada tahun 2009.

Laman web universiti itu menyenaraikan Najib sebagai salah seorang "alumni terkenal" mereka.

Petisyen Hooi itu disertakan gambaran keseluruhan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), skandal kewangan yang menjadi berita utama antarabangsa dan mendapat respons "kurang diingini" kerajaan berhubung kegagalan itu.

Petisyen itu juga menekankan penggantian peguam negara di tengah-tengah spekulasi terdapat kertas pertuduhan dirangka terhadap Najib, rombakan Kabinet apabila beberapa ahli Kabinet mula mengkritik beliau dan jawapan tidak memuaskan oleh kerajaan sebagai tindak balas kepada status wang dan sumbernya.

"Sehingga kini, PM masih tidak bertanggungjawab terhadap transaksi kewangan itu. Peguam negara yang baru dilantik memutuskan untuk tidak mengenakan dakwaan kepada sesiapa, dengan menyatakan wang yang diterima adalah sumbangan politik semata-mata.

"Etika tuntutan seperti itu sudah pasti dipersoalkan tetapi malangnya, dengan keengganan peguam negara untuk mendakwa PM, kita ditinggalkan dengan satu keadaan yang membolehkan PM kita tidak perlu untuk menjawab soalan pengubahan wang haram yang disyaki itu.

"Sebagai rakyat biasa, ramai di antara kita mungkin berasa tidak berdaya untuk mengharapkan Najib bertanggungjawab terhadap wang dalam akaun bank peribadinya itu," petisyen itu dibaca.

"Secara kolektifnya, kita mempunyai lebih banyak kuasa untuk bersuara menentang perkara ini . Sebahagian daripada anda mungkin sedia maklum, di Universiti Nottingham, United Kingdom (UK), terdapat potret besar perdana menteri kita pada salah satu dinding daripada kampus (Kings Meadow) yang berada pada ketinggian 2 meter."

Pemohon petisyen itu berkata, usul Persatuan Pelajar Malaysia untuk melobi universiti itu untuk mengeluarkan potret berkenaan akan dikemukakan pada Rabu depan semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan tersebut.

Tarikh akhir untuk mengemukakan usul untuk dibahaskan semasa AGM adalah hari ini.

"Kami sedar usul itu mungkin tidak boleh diluluskan untuk perbahasan, maka petisyen ini memerlukan lebih daripada 100 tandatangan untuk menunjukkan kepada masyarakat isu ini adalah berbaloi untuk dipertimbangkan di AGM.

"Jika usul itu diluluskan, ia akan dibahaskan semasa AGM dan sama ada ia akan diluluskan, akan tertakluk kepada sebarang undi majoriti (iaitu diharapkan, potret itu diturunkan)," kata petisyen itu.

Pada 3.30 petang, petisyen itu sudah mendapat lebih 800 tandatangan.

Ia juga menggesa pelajar Universiti Nottingham untuk mendaftar sebagai ahli Persatuan Pelajar Malaysia untuk mengundi pada AGM, minggu depan lapor The Malaysian Insider

.. Untuk makluman.. pakal pukul 11.00 malam tadi jumlah yang menandatangani petisyen itu adalah 2,143..



-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...