Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Panas Melampau, Raja Bomoh Muncul Pecah Tembikai Pulakdah..

Posted: 21 Mar 2016 07:30 AM PDT


Individu yang mengelar dirinya sebagai Raja Bomoh Malaysia sekali lagi mengadakan ritual 'pelik' dengan mengunakan buah tembikai agar fenomena panas melampau yang sedang melanda negara dapat dipulihkan.

Dalam ritual yang diadakan di ibukota pada Isnin, individu yang dikenali sebagai Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin itu bersama empat orang pengikutnya turut membacakan surah Yassin dan berdoa sebelum memecahkan lima biji buah tembikai sebagai simbolik untuk menyejukkan badan.

"Ayat Yassin dan ayat Nabi Yunus yang dibaca (tadi) adalah merupakan petua orang zaman dahulu (dan) buah tembikai (sebagai simbolik) untuk menyejukkan badan, bumi dan udara supaya (fenomena) panas yang berlaku dapat dipulihkan, semoga (dengan) petua ini dapat menyejukkan udara supaya rakyat berbilang kaum dan bangsa di Malaysia.



"Kami kumpulan Datuk Ibrahim Raja Bomoh Sedunia berdoa dengan anak muridnya untuk menyelamatkan (masyarakat) berbilang kaum dan bangsa agar cuaca panas dapat dikurangkan dengan izin Allah" ujarnya ketika ritual tersebut diadakan.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini meramalkan cuaca panas dan kering ini akan berakhir pada Mei atau Jun, dengan suhu dijangka paling panas esok kerana fenomena ekuinok.

Ekoran daripada itu Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementeriannya telah mengemukakan cadangan dan garis panduan bagi menghadapi cuaca panas melampau kepada Kabinet.

Ia membabitkan tindakan yang perlu diambil merangkumi keperluan untuk menutup sekolah, catuan air, pembenihan awan dan aspek kesihatan.

Jabatan Mufti Negeri Perak dalam satu kenyataan sebelum ini telah mengharamkan upacara pembomohan yang dilakukan Ibrahim.

April lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak turut memutuskan dalam mesyuaratnya untuk mewartakan ritual bomoh kontroversi itu sebagai sesat dan haram. – SuaraTV

Adakah Khairy Cuai Laksanakan Tugas? Soal Perkasa

Posted: 21 Mar 2016 05:30 AM PDT


Langkah Kementerian Belia dan Sukan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) kementerian dalam meluluskan pemberian dana ekoran dakwaan penyelewengan bernilai ratusan juta ringgit oleh para pegawainya disokong Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa).

Bagaimanapun badan bukan kerajaan itu mempersoalkan keberkesanan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin sehingga penyelewengan besar berlaku dalam kementerian itu. 

"Persoalan yang bermain di minda rakyat adalah penyelewengan dana awam sehingga RM100 juta adalah terlalu besar untuk terlepas daripada pandangan serta kelulusan Menteri.

"Adakah ini bermakna Khairy terlalu cuai dalam melakukan tugas beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan sehingga tidak dapat mengesan kelompongan yang ada di dalam sistem kementeriannya yang menyebabkan skandal ini?

"Atau adakah ini juga bermakna Khairy tidak menumpukan sepenuh perhatian di dalam tugasnya sebagai Menteri untuk memperbaiki serta menambah baik perjalanan kementeriannya?" kata Setiausaha Biro Pemantauan dan Integriti (BPI) Perkasa, Azrul Akmal Saharudin.

Azrul yang juga Ahli Dewan Tertinggi Perkasa berkata, pihaknya memandang serius keberkesanan Khairy Jamaludin sebagai Menteri bagi membendung amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalam kementeriannya.

Sambil menyatakan sokongan Perkasa kepada SPRM untuk menyiasat kes penyelewengan ini sehingga ke akar umbi, beliau juga mahu siasatan dibuat bagi menentukan bila pegawai-pegawai terbabit berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan.

"Jika ianya berlaku selepas beliau menjawat jawatan Menteri, maka wajarlah Menteri juga disiasat untuk mengenal pasti dalang sebenar dan secara tidak langsung membersihkan nama beliau daripada terpalit dengan skandal ini," tegasnya.

Menurut beliau, memandangkan SOP meluluskan dana dan tender kerajaan di semua kementerian mempunyai persamaan, Perkasa mencadangkan SPRM melaksanakan operasi besar-besaran di semua kementerian.

Malah tambah beliau, Khairy sendiri mengakui skandal penyalahgunaan dana kerajaan yang berlaku di kementeriannya berpunca daripada kelemahan SOP sehingga menjurus kepada kes penyelewengan dana awam.

"Maka wajarlah jawantankuasa khas yang dicadangkan oleh YB Khairy Jamaludin untuk menyiasat dan memperbaiki SOP kementeriannya diperluaskan juga kepada kementerian-kementerian lain," ujarnya.

 Azrul juga mengingatkan para penjawat awam yang merasakan diri mereka kebal daripada tindakan undang-undang agar bekerja dengan jujur dan penuh integriti ~ Malaysia Dateline



Tidak Tahu Harga Pasaran: Kenyataan LGE Tak Cerdik - Pemuda UMNO Kata

Posted: 21 Mar 2016 02:25 AM PDT


Pengakuan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa dia tidak mengetahui harga pasaran rumah banglo di Jalan Pinhorn yang dibelinya tahun lalu dianggap kurang cerdik.

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim mendakwa, pengakuan itu jelas menunjukkan Guan Eng menipu dalam menjawab soalan media berhubung pembelian banglonya dengan harga lebih murah dari harga pasaran.

Menurutnya, Notis Taksiran Pindah Milik Harta Tanah yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 27 Ogos tahun lalu menunjukkan harga pasaran rumah banglo berkenaan bernilai RM4.27 juta.

"Mustahil dia tidak tahu harga pasaran rumah itu kerana notis taksiran sudah dikeluarkan tahun lalu dengan harga pasaran RM4.27 juta dan dia perlu membayar duti sebanyak RM122,100.

"Beliau kata tak tahu sedangkan beliau sendiri sudah membuat deklarasi kepada LHDN bahawa rumah yang dibelinya lebih rendah dari harga pasaran, malah dia sudah bayar duti yang dikenakan. 

"Secara logiknya, jika kita mahu beli aset yang besar seperti rumah, mesti kita akan semak harga pasaran kerana ia pembelian melibatkan banyak wang," katanya kepada media semalam.

Terdahulu, Rafizal dan beberapa ahli Pemuda Umno Pulau Pinang membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri berhubung pembelian rumah banglo Guan Eng lapor Sinar



Gara-gara Usul Undi Tak Percaya, Mat Said Terima Padah..

Posted: 21 Mar 2016 12:26 AM PDT


Kerajaan Terengganu menghentikan penyaluran dana kepada ADUN Kijal yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, tindakan itu dianggap langkah tepat berikutan tindakan Ahmad yang dilihat tidak membawa imej sebagai wakil rakyat kerajaan kerana tindakannya mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau pada sidang DUN baru-baru ini.

Memetik laporan Sinar Harian, Ahmad Razif berkata, semua dana untuk DUN Kijal akan diuruskan olehnya sendiri di bawah Pejabat Menteri Besar.

"Kita hentikan untuk diuruskan oleh ADUN kawasan itu sahaja tetapi bajet untuk Kijal (DUN) masih berjalan macam biasa tapi diuruskan di bawah Pejabat Menteri Besar.

"Kita melihat bahawa apa tindakan yang ditunjukkan tidak mencerminkan kepada wakil rakyat kerajaan maka kerana itu saya sebagai pemimpin kerajaan sekarang, akan mengambil alih (dana)," katanya kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran di Hentian Bas MBKT di Kuala Terengganu, pada Ahad.

Ditanya tindakan kerajaan negeri itu seolah-olah memperlakukan Ahmad seperti kawasan pembangkang, Ahmad Razif menyerahkan persepsi itu dinilai oleh umum termasuk Ahmad.

Itu terpulang kepada dia (Ahmad)," jawabnya ringkas.

Kemungkinan Ahmad akan berpaling tadah dan boleh menyebabkan kedudukan kerusi BN dan pembangkang seri, Ahmad Razif berkata, ia tidak menjejaskan kerajaan yang dipimpinnya sekarang.



-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...